mk-logo
Berita
Ceramah ‘bom atom’, polis buka kertas siasatan

Polis membuka kertas siasatan berhubung kes membabitkan ceramah Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, yang didakwa mengandungi unsur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abd Rahim Hanafi, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas menerima laporan polis berhubung dakwaan itu.

"Siasatan masih diteruskan namun polis akan memanggil beberapa individu termasuk Rafizi untuk memberi keterangan," katanya di Kuala Kangsar, hari ini.

Rafizi dalam satu ceramah di Kuala Kangsar pada 9 Jun lalu memberitahu hadirin supaya menyokong calon AMANAH Dr Ahmad Termizi Ramli keran beliau seorang ahli fizik nuklear yang berkelayakan.

“... kita mahu hantar dia masuk parliamen, kita mahu dia baling ‘atom bom’ ke atas Najib sebelah sana, mesti meletup,” katanya.

Rahim juga memberi amaran kepada ahli-ahli politik dan calon-calon supaya tidak mengeluarkan perkataan 'bom' walaupun secara bergurau.

"Ya, walaupun ia gurau, namun ia adalah ugutan, kita akan siasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau juga menasihatkan calon-calon dan ahli-ahli politik supaya tidak mengeluarkan kenyataan provokatif ketika berceramah.

"Saya nasihatkan kepada parti-parti yang bertanding atau penceramah-penceramah supaya tidak melibatkan, mengadakan, membuat provokasi antara satu sama lain.

"Jangan libatkan isu-isu perkauman, keagamaan dan juga kebudayaan yang boleh gugat keamanan dan keselamatan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini