MIC: Siasat modul pengajaran UTM bawah Akta Hasutan
Bendahari Agung MIC Datuk Seri S Vell Paari menggesa polis menyiasat modul pengajaran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah Akta Hasutan.
"Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sering memberi amaran bahawa mereka yang menginjak-injak atas sensitiviti agama dan kaum tidak akan diterima.
"Ini adalah satu contoh yang terang-terangan bagaimana sensitiviti Hindu dan Sikh telah diinjak-injak.
"Apa yang membuatkan ia lebih buruk bahawa pelaku adalah mereka yang bertanggungjawab untuk membentuk generasi masa depan rakyat Malaysia," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Vell Paari berkata, Naib Canselor UTM tidak harus menjelaskan modul mereka mempunyai "kesilapan" kerana mereka sama sekali 'biadap, angkuh dan taksub'.
Beliau juga mempersoalkan sama ada modul itu telah diperiksa oleh kakitangan akademik universiti sebelum digunakan untuk pengajaran atau terlepas pandang.
Ia adalah mengecewakan, katanya, apabila orang bukan Islam sering pada akhirnya menerima episod buruk itu dan anak-anak mereka menunjukkan rasa tidak hormat kepada sesuatu institusi pendidikan.
"Apabila ada penghinaan kepada Islam, terdapat kegemparan dan siasatan polis, malah ancaman keganasan kaum.
"Tetapi apabila ia melibatkan orang bukan Islam, ia hanya ditolak kerana kesilapan atau terlepas pandang," keluh Vell Paari.
Semalam, paparan skrin modul yang mengandungi logo UTM viral di media sosial, dipercayai sebahagian daripada modul wajib Tamadun Islam dan Tamadun Asia untuk pelajar di universiti awam.
Slaid itu antara lain menyebut Islam mengajar masyarakat Hindu di India tentang pentingnya kebersihan tubuh badan dan penjagaan kesihatan. Namun ia menyatakan sebahagian penganut Hindu menganggap kekotoran pada tubuh badan sebahagian daripada amalan yang boleh menyampaikan seseorang hamba ke alam nirvana.
Slaid yang lain menyatakan agama Sikh adalah gabungan unsur-unsur keagamaan Hindu dan Islam, tetapi pengasasnya tidak memahami Islam secara mendalam.

