Deklarasi Rakyat membawa mereka yang saling 'bermusuhan' suatu ketika dahulu kini duduk semeja, namun ia menjadi lebih janggal apabila melihat Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang bergabung tenaga.

Sejak itu, kedua-dua pemimpin veteran berkenaan sering kali diasak untuk menjelaskan tindakan sedemikian kepada penyokong dan pengkritik masing-masing dengan ada di kalangan mereka menyifatkan ia sebagai khianat.

Dalam catatan terbaru blog beliau, bekas perdana menteri itu menegaskan bahawa beliau terpaksa 'berdansa' dengan orang kuat DAP itu setelah Umno tidak lagi memainkan rentak seperti dahulu.

"Saya tidak akan ada bersama Kit Siang jika Umno masih Umno yang ditubuh pada 1946," ujar beliau.

Mahathir juga menegaskan bahawa memandangkan beliau bukan lagi ahli mana-mana parti politik, beliau bebas untuk menyertai mana-mana gerakan.

"Sebagai rakyat Malaysia saya sertai gerakan rakyat untuk menumpaskan Najib. Jika terdapat dalam gerakan ini Lim Kit Siang, dia juga rakyat.

"Hanya dalam usaha dan niat untuk singkirkan Najib sahaja kita bersetuju," tambah beliau.

[Baca berita penuh]