Duta AS: Reputasi pengeluar No 1 perisian cetak rompak jejas Msia
Terjemahan Malaysia mempunyai reputasi sebagai pengeksport cakra digital cetak-rompak yang terbesar di dunia dan reputasi tersebut boleh menjejaskan minat pelabur asing ke negara ini, kata Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Christopher J LaFleur.
Terjemahan Malaysia mempunyai reputasi sebagai pengeksport cakra digital cetak-rompak yang terbesar di dunia dan reputasi tersebut boleh menjejaskan minat pelabur asing ke negara ini, kata Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Christopher J LaFleur.
"Malaysia mendapat reputasi itu, antaranya kerana kemajuan teknologinya. Terdapat kemudahan untuk menghasilkan produk itu dengan baik, dan malangnya, sindiket penjenayah yang melakukan kerja ini, mengeksplotasi sepenuhnya kelebihan ini," katanya dalam wawancara selama sejam dengan malaysiakini minggu lalu.
Katanya, sebelum dihantar ke Kuala Lumpur tiga bulan lalu, beliau dimaklumkan oleh sebuah persatuan pengeluar perisian bahawa Malaysia merupakan pengeksport bahan cetak-rompak terbesar di dunia.
"Reputasi seumpama ini hanya akan menjejaskan minat para pelabur asing untuk datang melaburkan di sini," tambahnya.
LaFleur juga menegaskan, pihak berkuasa mesti dilihat 'memenangi' perang menghapuskan cakra cetak rompak jika Malaysia mahu menarik pelaburan asing.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan tindakan agensi penguatkuasa terhadap pengeluar cakra cetak-rompak seperti CD, VCD dan DVD, tetapi menegaskan lebih banyak lagi perlu dilakukan.
Pendidikan penting
Sebagai tambahan kepada perlindungan harta intelektual, LaFleur juga menyentuh tentang beberapa cabaran utama terhadap ekonomi Malaysia ketika persaingan mendapatkan pelaburan di peringkat global semakin hebat.
Katanya, Malaysia perlu memperbaiki lagi rangkakerja undang-undang dan kawalatur bagi menyediakan satu set peraturan yang stabil kepada syarikat-syarikat untuk beroperasi di negara ini.
"Saya rasa penekanan yang lebih dalam bidang pendidikan...adalah jelas amat penting, dan amat kritikal bagi kita. Lihat apa yang berlaku di Massachusetts, Lembah Silicon di California - tempat-tempat ini mempunyai universiti bertaraf dunia yang menghasilkan graduan dengan kepakaran khusus yang diperlukan oleh industri berasaskan teknologi tinggi," katanya.
LaFleur juga mengiktiraf kemampuan rakyat Malaysia dalam menguasai bahasa Inggeris dan memandangkan bahasa itu luas digunakan dalam urusan pejabat, maka maka beliau berpendapat ia adalah satu kekuatan yang mesti terus dipertingkatkan di kalangan generasi muda.
Perjanjian perdagangan bebas
Amerika merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia di mana perdagangan dua-halanya berjumlah lebih AS$36 bilion pada tahun 2003. Bagi pihak Amerika, hubungan perdagangan dengan Malaysia adalah sama pentingnya dengan 10 rakan perdagangan utamanya di dunia.
Bagaimanapun, LaFleur menegaskan adalah terlalu awal bagi Amerika dan Malaysia untuk memulakan rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA).
"Kita masih belum sampai ke peringkat untuk berbincang mengenai FTA. Apa yang telah kita lakukan ialah mula bercakap berdasarkan kepada satu rangka-kerja pelaburan-perdagangan yang ditandatangani tahun lalu," katanya, merujuk kepada Perjanjian Rangka-kerja Pelaburan dan Perdagangan, yang ditandatangani oleh kedua-dua negara Mei lalu.
Amerika juga telah menandatangani FTA dengan Singapura, dan kini sedang mengadakan rundingan dengan Thailand untuk menandatangani perjanjian yang sama.
Dalam wawancara tersebut, LaFleur berkata, antara isu penting kepada pelabur-pelabur Amerika - yang mempunyai pelaburan berjumlah AS$29 bilion di Malaysia - ialah ketelusan dalam saingan pemerolehan kerajaan, peluang sama rata dalam perniagaan dan tenaga kerja mahir.

