Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah bebaskan bekas pemandu Karpal Singh
Diterbitkan:  Jun 14, 2016 2:33 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Bekas pemandu mendiang Karpal Singh, C Selvam dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kampar hari ini atas tuduhan memandu secara cuai dan bahaya sehingga menyebabkan kematian orang kuat DAP itu dua tahun lalu.

Majistret Mohamad Ibrahim Mohamad Ghulam dilaporkan dalam The Star Online sebagai berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Selvam, seorang warga India.

Selvam, 29, ketika ditemui di luar mahkamah berkata beliau amat lega dengan keputusan itu dan masalah itu kini berakhir.

"Saya rasa baik. Saya amat gembira kerana pulang ke rumah untuk melihat keluarga saya," katanya sambil menitiskan air mata.

"Saya mahu pulang ke rumah secepat yang boleh," katanya.

Selvam kemudian mengucapkan terima kasih kepada peguamnya Baljit Singh kerana mengambil kes itu secara pro bono, dan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Huan Cheng Guan yang membayar wang jaminan dan melindunginya sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau hanya berdiam ketika ditanya sama ada beliau mempunyai sebarang ucapan untuk keluarga Karpal.

Selvam didakwa memandu secara cuai dan bahaya di Km306.1 lorong arah utara di Lebuhraya Utara-Selatan pada kira-kira jam 12.40 tengah malam 17 April 2014.

Kemalangan dengan sebuah lori menyebabkan Karpal yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan pembantunya Michael Cornelius meninggal dunia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS