Ketua MIC: Dakwaan ‘penganut Hindu kotor’ bukti kejahilan menular
Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, dakwaan kesilapan pengajaran berhubung agama Hindu dan Sikh kepada pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menunjukkan bahawa kejahilan menular di negara ini termasuk di menara gading.
UTM semalam berkata pihaknya akan memperbetulkan modul Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) yang menyatakan bahawa Islam mengajar masyarakat Hindu tentang pentingnya kebersihan tubuh badan dan penjagaan kesihatan.
Ia menyatakan sebahagian penganut Hindu menganggap kekotoran yang ada pada tubuh badan sebagai sebahagian daripada amalan yang boleh menyampaikan seseorang hamba ke alam Nirvana.
Satu lagi slaid Titas UTM yang diedarkan di media sosial berkata agama Sikh adalah gabungan unsur-unsur keagamaan Hindu dan Islam, tetapi pengasasnya tidak memahami Islam secara mendalam.
"Menara gading (turut) menjadi kolam kejahilan.
"Kami melihat ini di sekolah-sekolah sebelum ini dan sekarang ia menular di universiti," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Subramaniam berkata, kitab Hindu yang wujud sebelum kedatangan Islam menggalakkan pengikutnya bangkit pada waktu subuh, mandi dan berdoa sebelum memulakan hari mereka, bertentangan dengan modul Titas UTM.
"Bila kita akan jujur secara intelektual?
"Perlu ada keikhlasan oleh mereka yang terbabit dengan sistem pendidikan berpegang kepada sejarah dan fakta sebenar. Percubaan untuk membandingkan budaya dan agama sentiasa berbahaya," katanya.
Subramaniam yang juga adalah menteri kesihatan, berkata mereka yang terbabit pelu menyelami jiwa sendiri untuk mengetahui mengapa dakwaan "kesilapan" seperti itu berlaku.
"Saya berdoa bahawa perkara-perkara seperti ini akan berlalu," katanya.

