BERSIH hari ini mengutuk amaran kemurkaan ilahi yang dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada pemilih dalam pilihan raya kecil Sungai Besar.

Dalam kenyataan hari ini, BERSIH berkata, ucapan Hadi itu menjadi kesalahan pilihan raya bawah Seksyen 9 (1), Akta Pilihan Raya 1954.

Peruntukan itu berkaitan pengaruh tidak wajar dalam pilihan raya.

BERSIH merujuk kenyataan langsung Hadi yang menyebut “mereka akan berdepan dengan kemurkaan ilahi jika memilih ahli parlimen salah pada 18 Jun ini” dan “Kalau apa yang diucap (oleh ahli parlimen) adalah salah, (maka) berdosa dan celakalah kita”.

Hadi mengupas tanggungjawab memilih wakil rakyat dalam satu ceramah di Sungai Besar malam kelmarin.

PAS sebelum ini mendakwa mereka yang mengundi calon parti Islam itu akan mendapat ganjaran Allah pada akhirat termasuk memasuki syurga.

Ini kerana ahli parlimen yang dipilih mewakili kerusi Sungai Besar dan juga Kuala Kangsar berpeluang membahas dan mengundi berhubung usul rang undang-undang persendirian Hadi bagi memperkasakan kuasa mahkamah syariah pada sesi akan datang.

Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) boleh membuka jalan bagi pelaksanaan hudud di Kelantan.

Pilihan raya kecil Sungai Besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PAS Dr Rani Osman, calon BN Budiman Mohd Zohdi, dan calon Parti Amanah Negara (AMANAH) Azhar Shukur.