Majlis Kewangan Negara hari ini bersetuju supaya Kerajaan Persekutuan menyediakan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri (KWRN) sebanyak RM330 juta iaitu caruman pada tahun 2018.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara itu diputuskan bagi membiayai pemberian kepada negeri-negeri yang menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus dan juga berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP).

“Untuk rekod, caruman yang tekah diluluskan pada tahun 2016 ialah sebanyak RM580 juta manakala pada tahun 2017 sebanyak RM530 juta,” katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Kewangan Negara tahun 2016 di Kementerian Kewangan, Putrajaya.

Najib yang juga perdana menteri berkata, Majlis Kewangan Negara turut bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Hasil Dalam Negeri supaya kerajaan negeri mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan tunggakan kutipan hasil negeri.

Katanya lagi, secara purata, jumlah tunggakan hasil negeri bagi tempoh 2011-2015 melebihi RM2 bilion setahun.

Jelasnya, antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri termasuk pemberian intensif pembayaran cukai awal sebanyak 10 peratus serta menyediakan van bergerak.

Sementara itu Najib berkata, Majlis Kewangan Negara turut bersetuju supaya Jawatankuasa Pemulihan Pinjaman (LRC) ditubuhkan dan diterajui oleh Kementerian Kewangan.

Ia bagi mengenal pasti pinjaman yang tertunggak dan mencadangkan tindakan penyelesaian.

“Di samping itu, jawatankuasa tersebut hendaklah memantau dan melaporkan kepada ahli Majlis berkenaan tindakan tunggakan pinjaman yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya.