Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid akan cadang pembangunan Lembah Bernam pada kabinet
Diterbitkan:  Jun 15, 2016 6:20 AM
Dikemaskini: 10:23 PM

Kawasan Lembah Bernam berpotensi dijadikan kawasan pembangunan baru yang dikenali sebagai Kawasan Kemajuan Lembah Bernam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan Pusat memandangkan kawasan yang merangkumi Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam di Selangor serta sekitar Tanjung Malim dan Bagan Datoh di Perak mempunyai potensi besar untuk dibangunkan.

"Dahulu, kawasan kita ini agak ketinggalan tetapi saya mempunyai perancanganyang agak besar bersama (Pengerusi Barisan Nasional Selangor) Tan Sri Noh Omaruntuk membangunkan kawasan ini.

"Kawasan kita sekarang merupakan kawasan yang berpotensi untuk pembangunan baru," katanya semasa berucap pada majlis penerapan nilai-nilai murni Ramadan Al-Mubarak dan berbuka puasa bersama anak yatim dan warga emas di Sungai Panjang di Sungai Besar semalam.

Ahmad Zahid berkata sekiranya dilaksanakan cadangan itu, setiap kawasan yangdibangunkan akan membolehkan penduduk menikmati kemajuan dan peningkatan status sosial.

Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menyatakan bila beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata jika semua wakil rakyat di kawasan terlibat termasuk di Sungai Besar, yang akan memilih wakil rakyat barunya pada Sabtu ini, mendapat sokongan dan dokongan kuat rakyat setempat, maka cadangan itu boleh disegerakan.

"Jika wakil rakyat kita mendapat sokongan dan dokongan yang kuat, Insya-Allah, semakin cepatlah pembangunan di kawasan ini dan semakin banyaklah projek-projek yang akan dinikmati," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata walaupun Selangor bukan berada di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) tetapi dengan adanya calon BN Budiman Mohd Zohdi dalam pilihan raya kecil Sungai Besar, ia menjadi kesinambungan kepada Tan Sri Noriah Kasnon yang membawa banyak pembangunan di kawasan itu.

"Jika rakyat Sungai Besar memilih calon BN, ertinya mereka mahukan kesinambungan kepada pembangunan yang dibawa sebelum ini," kata beliau.

"Kita tahu kesinambungan ini boleh dibawa bukan sahaja oleh Anggota Dewan Undangan Negeri yang mewakili kawasan ini, tetapi juga lebih besar kesannya kepada kawasan ini apabila anggota Parlimen dipilih akan mewakili kerajaan Pusat," katanya.

Ahmad Zahid berkata dengan cara itu nanti, kerajaan Pusat akan memberikan komitmen berterusan dalam menyalurkan peruntukan kepada anggota Parlimen berkenaan untuk membangunkan kawasan-kawasan yang diwakili mereka.

"Insya-Allah, jika Budiman terpilih sebagai anggota Parlimen Sungai Besar, saya berjanji untuk turun ke bawah apatah di kawasan ini, saya fikir masih perlukan pembangunan dan saya akan turun dengan peruntukan pembangunan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata banyak yang telah dilaksanakan kerajaan Pusat untuk Selangor, namun kerajaan negeri mengambil peluang melakukan sesuatu yang menyusahkan rakyat.

Sebagai contoh, katanya kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di bawah agensinya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Jabatan Perikanan membina jeti-jeti untuk nelayan mendaratkan hasil tangkapan laut.

Namun, menurutnya, beliau dimaklumkan kerajaan negeri bercadang mengenakan cukai atau bayaran perkhidmatan terhadap jeti-jeti itu oleh pihak berwajib kerajaan negeri walaupun kos pembinaan jeti itu dikeluarkan kerajaan Pusat.

"Dalam keadaan ini, sepatutnya kalau benar mereka memikirkan nasib rakyat, apabila kerajaan Pusat membina jeti dan kemudahan untuk rakyat, mereka (kerajaan negeri) seharusnya tidak mengenakan sebarang bayaran sebab mereka tidak mengeluarkan modal.

"Kerajaan Pusat yang mengeluarkan modal, maka mereka tidak boleh mengenakan bayaran dan atas faktor itulah, calon yang mewakili kerajaan Pusat harus diberikan dukungan, sebab Insya-Allah banyak lagi pembangunan dan kemudahan yang akan dibawa oleh wakil rakyat BN seperti Budiman," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS