Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ridhuan Tee tempelak pihak melatah isu slaid, anggap UTM bacul
Diterbitkan:  Jun 15, 2016 1:29 PM
Dikemaskini: 6:08 AM

Penceramah bebas, Dr Ridhuan Tee Abdullah menempelak pihak yang disifatkan cepat melatah berhubung kesilapan dalam slaid modul pengajian Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) kepada pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut Ridhuan, pihak terbabit turut menggesa penulis modul berkenaan dipecat tanpa diberi peluang membela diri atau mempertahankan hujahnya.

“Memang slaid UTM itu ada kelemahan tetapi berilah peluang. Sepatutnya penulis slaid berkenaan diberi peluang untuk mempertahankan hujahnya.

“Jika penulis gagal, minta maaf. Bukan menyerang begitu emosi. Amat malang dapat Timbalan Menteri Pendidikan (Datuk P Kamalanathan) yang sangat beremosi tanpa memberi peluang kepada penulis membela diri," katanya seperti dilapor portal Ismaweb.net.

Slaid modul Titas itu sebelum ini menimbulkan kecaman terutama daripada MIC kerana dikatakan memaparkan fakta salah mengenai agama Hindu dan Sikh.

Ia menyatakan sebahagian penganut Hindu menganggap kekotoran pada tubuh badan sebagai sebahagian daripada amalan yang boleh menyampaikan seseorang hamba ke alam Nirvana.

Satu lagi slaid Titas UTM yang tersebar di media sosial menyatakan agama Sikh adalah gabungan unsur-unsur keagamaan Hindu dan Islam, tetapi pengasasnya tidak memahami Islam secara mendalam.

Susulan itu, Pergerakan Kebangsaan Sikh Malaysia (Geraksikh) turut menggesa UTM memecat individu yang bertanggungjawab terhadap slaid modul berkenaan.

Pada masa sama, Ridhuan yang terkenal kerana kelantangannya terhadap kaum bukan Melayu dan Islam, turut membidas UTM kerana 'bersikap bacul' tanpa mempertahankan pendiriannya.

“UTM pula terlalu bacul sehingga buat kenyataan akhbar dalam bahasa Inggeris lagi. Malang sekali apabila ilmuwan tidak berhujah atas dasar ilmu tetapi atas dasar takut hilang jawatan dan periuk nasi.

“Kenapa kita begitu takut dan pengecut. Takut hilang jawatan. Dalam dunia akademik, jika yang ditulis ada justifikasi maka tidak ada masalah. Jangan terlalu cepat melatah," katanya.

Lihat Komen
ADS