Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Disebabkan gagal memberi alasan memuaskan memiliki sebuah kereta tanpa nombor casis dan nombor enjin, seorang Imam masjid didenda RM1,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Jamil Ibrahim, 29, selepas dia mengaku bersalah memiliki sebuah kereta jenis Nissan Grand Lavina tanpa nombor casis dan nombor enjin.

Abdul Jamil yang juga bekerja sebagai kren operator didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Balai Polis Kuala Terengganu, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, Terengganu, pada 3 petang, 12 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil yang membawa hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukum setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam, Mohamad Zaidi Othman memohon hukuman denda dengan alasan anak guamnya itu penanggung tunggal dalam keluarganya.

"Tertuduh juga mempunyai seorang anak dan isterinya sedang mengandung anak kedua serta anak guam saya juga sudah insaf," katanya.

-Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS