Bekalan ayam, daging dan telur di seluruh negara dijamin mencukupi untuk sambutan Aidilfitri tahun ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Kamarudin Md Isa.

Beliau berkata dari segi pengeluaran, sejumlah 13.78 juta ekor ayam disediakan untuk pasaran bagi tempoh seminggu awal perayaan iaitu bersamaan 1.97 juta ekor sehari.

Bagi tempoh seminggu selepas itu, pihaknya mendapat jaminan penternak bahawa pengeluaran ayam masih stabil iaitu 1.96 juta ekor sehari atau 13.77 juta ekor ayam seminggu.

"Ayam daging yang akan berada di pasaran dirancang pengeluarannya sejak 60 hari lebih awal yang melibatkan dua peringkat iaitu penetasan yang mengambil masa 21 hari, diikuti tempoh pemeliharaan selama 40 hari sebelum bersedia untuk dipasarkan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Kamarudin berkata penternak juga bersetuju menetapkan harga ayam hidup di peringkat ladang pada kadar RM10 sekilogram bagi ayam gred super untuk tempoh 1 hingga 15 Julai.

Mengenai kawalan harga ayam, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan manakala jabatannya hanya memberi input di dalam penetapan harga itu.

Bagi keperluan daging lembu segar, sebanyak 53,633 ekor lembu dengan kuantiti daging 33,262 tan metrik akan disediakan sepanjang tempoh perayaan itu.

Selain daging lembu segar tempatan, katanya jabatan itu turut mengimport sebanyak 25,512 tan metrik daging kerbau beku dari India dan daging lembu beku dari New Zealand dan Austrlia untuk memenuhi permintaan pengguna.

Mengenai bekalan telur, Kamarudin berkata aspek pengeluaran yang efisien, ladang berteknologi tinggi dan pengurusan ladang tersusun memastikan produk itu tidak berdepan masalah untuk memenuhi kehendak pasaran.

"Jadi, faktor perayaan langsung tidak menjadi halangan kepada penghasilan telur untuk penjualan, malah ada daripada ladang-ladang itu mencapai pengeluaran harian sehingga sejuta biji telur sehari," katanya.

-Bernama