Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini membidas tindakan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli kerana tidak membenarkan pegawai khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor menghadiri sidang medianya di Kuala Kangsar.

Katanya, sebagai pemimpin yang kononnya berani mendedahkan segala penyelewengan dan skandal membabitkan kerajaan, Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan sepatutnya berani berdepan dengan orang yang didakwanya.

“Ertinya kalau dia berani dia sangguplah berhadapan sama ada dengan media atau siapa sahaja yang mewakili individu yang dituduh oleh beliau. Berani kerana benar dan takut kerana salah!

“Jadi saya harap ini merupakan satu manifestasi bahawa orang yang dipanggil tokoh yang berani untuk kononnya mendedahkan satu penyelewengan, satu skandal dan sebagainya sebenarnya tidak ada keberanian kerana tidak berani menghadapi individu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas majlis himpunan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

Rizal hari ini hadir di ibu pejabat AMANAH di Kuala Kangsar untuk mendengar pendedahan terbaru PKR ke atas Datin Seri Rosmah berhubung penggunaan pesawat peribadi kerajaan ke Istanbul, Turki baru-baru ini.

Namun, kehadiran Rizal dihalang petugas AMANAH dan beliau dilarang naik ke bilik sidang media itu diadakan.

Rafizi sejak Rabu lalu berterusan mendedahkan Rosmah menggunakan pesawat peribadi sewa khas kerajaan untuk ke Istanbul.

Dakwanya, anggaran sekitar RM86.4 juta dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyewa jet peribadi Airbus ACJ319 selama untuk dua bulan yang digunakan Rosmah.

Rizal sebelum ini telah menjawap segala tuduhan berkenaan dan berkata kehadirannya hari ini sekadar mengambil nota supaya boleh menyediakan jawapan berhubung tuduhan terbaru Rafizi itu.

“Nampaknya kehadiran saya tidak diterima dia tidak mahu membenarkan saya naik ke atas dan ini tidak melambangkan keterbukaan kebebasan media yang selalu beliau laungkan.

“Saya bukan nak lakukan tindakan luar jangka. Saya hanya nak duduk dan kalau tak boleh duduk pun saya akan berdiri serta keluarkan buku nota saya untuk catit. Itu sahaja, kenapa dia tak benarkan saya masuk saya pun tak faham,” kata Rizal.

Lihat Komen
ADS