Pendirian Azmin 'bingungkan' Hisham
Sokongan terbuka diberi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada calon Pakatan Harapan di Sungai Besar semalam hanya menambah tanda tanya kepada rakyat, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
"Apa maknanya kenyataan itu?" kata Hishammuddin di sidang media hari ini.
Semalam menteri besar Selangor itu membuat kenyataan terbuka menyokong Azhar Shukur dalam pilihan raya kecil Sungai Besar pada 18 Jun ini.
Pada masa sama Azmin berkata beliau mendoakan calon PAS Dr Rani Osman.
Selain Dr Rani, Azhar - dari Parti Amanah Negara - berdepan seorang lagi calon iaitu Budiman Mohd Zohdi dari BN.
Kata Hishammuddin apabila dua parti yang boleh bekerjasama tetapi pada waktu sama bersaing antara satu sama lain bukanlah lambang politik yang matang.
"Bagaimana ia boleh dianggap matang apabila ia mengelirukan rakyat?" katanya.
Naib presiden Umno itu bagaimanapun berkata, keadaan itu tidak semestinya memberi kelebihan kepada BN dalam pilihan raya kecil nanti.

