Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihati peminat Euro 2016 untuk mengutamakan ibadah di bulan Ramadan berbanding ghairah menonton perlawanan bola sepak.

Menurutnya, ini kerana sekiranya mereka leka dan meninggalkan solat fardu serta tanggungjawab wajib, hukumnya adalah haram.

Akhbar Sinar Harian memetik Harussani berkata umat Islam seharus memanfaatkan bulan Ramadan dengan beribadah dan merebut ganjaran pahala.

“Manusia yang bahagia dunia pasti akhiratnya juga bahagia. Kalau ketika hidup di dunia melupakan Allah dan asyik dengan keseronokan duniawi, nanti di akhirat kelak nak tengok apa? Tengok api neraka?

“Kalau terlalu asyik menonton bola sepak sehingga meninggalkan solat fardu, sunat tarawih, qiamullail kita tak dapat apa.

“Harap tinggallah dulu bola itu tumpukan cari pahala,” katanya dipetik akhbar itu.

Perlawanan Euro bermula pada 10 Jun dan berakhir pada 10 Julai 2016.

Siaran langsungnya ditayangkan bermula jam 9 malam, 12 tengah malam dan tiga pagi.

Ia disiarkan di stesen televisyen berbayar dan perlawanan akan diadakan sebanyak sekali atau dua kali dalam sehari.