Datuk Matshah: Saya tidak tipu pemilik tanah Kg Baru
Tokoh korporat Melayu Datuk Matshah Safuan berkata, beliau tidak pernah menipu pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru supaya menjual tanah kepada beliau dengan harga murah untuk dimajukan.
Tokoh korporat Melayu Datuk Matshah Safuan berkata, beliau tidak pernah menipu pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru supaya menjual tanah kepada beliau dengan harga murah untuk dimajukan.
Katanya, beliau sebaliknya
membeli tanah
mengikut harga pasaran semasa bagi menolong orang Melayu Kampung Baru memajukan tanah mereka dengan projek komersil untuk kepentingan mereka.
Bagaimanapun, kata Matshah, syarikatnya Safuan Group Berhad (SGB) tidak banyak membeli banyak tanah Kampung Baru kerana keluarganya sendiri memiliki banyak tanah di kawasan tersebut.
"Saya berasal dari Kampung Baru...adik beradik saya tinggal di Kampung Baru, ayah saya mempunyai banyak tanah di kampung ini.
"SGB memang ada membeli tanah Kampung Baru tetapi tidak banyak. Saya membeli tanah mereka mengikut harga pasaran semasa. Kalau harga RM100 sekaki persegi, saya bayar dengan harga tersebut," kata Pengerusi Kumpulan Eksekutif SGB tersebut.
Matshah berkata, pemilik tanah Kampung Baru tidak tahu bagaimana untuk memajukan tanah mereka dan SGB mengambil peluang dengan menunjuk arah kepada mereka.
SGB, kata Matshah, telah melabur RM300 juta membangunkan Kampung Baru dengan projek komersil untuk memberi keuntungan kepada pemilik tanah dan penduduk kampung tersebut.
Beliau berkata, pelaburan besar di Kampung Baru adalah semata-mata untuk membantu pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru maju seperti penduduk di tempat lain di Kuala Lumpur.
Pusat komersil moden
"Mengapa tempat bersebelahan Kampung Baru seperti Jalan Ampang mempunyai bangunan pencakar langit, sedangkan Kampung Baru kekal sebagai perkampungan masih yang ketinggalan dan tiada nilai komersil.
"Sudah sampai masanya Kampung Baru membangun seperti kawasan sekitar untuk kepentingan ekonomi, politik dan sosiobudaya orang Melayu di Kuala Lumpur," katanya.
Katanya, beliau ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa orang Melayu juga boleh memajukan sebuah kampung Melayu menjadi pusat komersil moden yang lengkap serba serbi.
Sehingga hari ini, SGB telah memiliki beberapa mercu tanda di kawasan sekitar Kampung Baru seperti Plaza Safuan di Jalan Raja Alang, Menara Safuan di Jalan Ampang serta beberapa rumah kedai di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, kata Matshah, usaha beliau secara bersendirian tidak berkesan kerana pelbagai masalah yang berlaku di Kampung Baru, terutama melibatkan status tanah iaitu Malay Agricultural Settlement (MAS) yang menyebabkan ia tidak boleh dimajukan secara komersil.
"Saya sedih dan kesal kerana usaha saya sejak berpuluh tahun lalu untuk memajukan Kampung Baru belum berjaya sedangkan kawasan sekitar penuh dengan bangunan pencakar langit.
"Tetapi saya tidak akan mengalah dan jemu dalam memberikan sumbangan kepada pembangunan Kampung Baru. Saya berharap pembangunan semula Kampung Baru akan berjaya sepenuhnya," katanya lagi.
Beliau berkata, SGB juga akan mengadakan satu seminar mengenai pembangunan Kampung Baru yang melibatkan ahli ekonomi, kerajaan, parti politik serta pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru bagi mengenal pasti masalah dan kehendak sebenar penduduk kampung tersebut.

