'Kajian tunjuk PAS ada harapan menang dua PRK'
Dengan kempen pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar berbaki dua hari sahaja lagi, PAS hari ini berkata parti itu yakin akan menawan kedua-dua kerusi parlimen berkenaan.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata ia berdasarkan kajian yang dilakukan pasukannya dan kajian Institut Darul Ehsan (IDE) yang didedahkan semalam.
Katanya, berdasarkan dapatan yang diperolehi, PAS masih mempunyai peluang untuk menang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar berikutan rasa tidak puas hati yang tinggi di kalangan pengundi Melayu terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Sekiranya rasa tidak berpuashati ini dapat dikekalkan seterusnya diterjemahkan sebagai undi protes di atas kertas undi, PAS ada harapan memenangi kedua-dua kerusi.
"Jentera PAS dalam tempoh dua hari terakhir ini perlu berusaha mewujudkan gelombang protes itu," katanya pada kenyataan media hari ini.
Menurutnya, berdasarkan kajian PPP Perak, sebanyak 59 peratus tidak bersetuju dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan 89 peratus tidak berpuashati dengan langkah kerajaan mengatasi kenaikan harga barang.
Manakala hanya 38.7 peratus berpuas hati dengan Najib Razak, katanya.
Di Sungai Besar, katanya, kajian IDE menunjukkan 47.4 peratus responden tidak berpuashati dengan Najib dan akan mendorong mereka untuk tidak mengundi BN kali ini.
Bagaimanapun dapatan kajian tersebut menunjukkan ketidakpuasan hati rakyat di Sungai Besar masih belum mendorong pengundi melakukan protes di atas kertas undi.
"Kajian itu mendapati BN masih memperolehi majoriti tipis di Sungai Besar disebabkan ayunan (swing) pengundi Cina kembali kepada BN," katanya.
Piihan Raya Kecil Sungai Besar 18 Jun ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PAS, BN dan AMANAH, manakala di Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan seorang calon bebas.
Kerusi tersebut kosong berikutan kematian dua penyandangnya dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak.

