Seorang petani, Chin Kwai Leong tidak menyangka kehadiran besar anggota polis apabila dia dan sekumpulan petani yang menaiki sebuah bas menyerahkan dua memorandum di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pagi ini.

Petani terbabit meminta bantuan Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Kadir menggantung pajakan ke atas syarikat perlombongan pasir yang beroperasi di atas tanah ladang yang mereka usahakan.

"Saya terkejut. Terdapat begitu ramai daripada mereka. Kami hanya mahu serahkan memorandum kami," kata Chin ketika dihubungi.

Menurut memorandum itu, 75 petani dan penternak itu bekerja di tanah masing-masing selama tiga generasi dan telah cuba membeli tanah tersebut sejak 20 tahun yang lalu tetapi tidak berjaya.

Bagaimanapun pada 12 Februari, plot tanah melibatkan 385,484 ekar tanah dan 244.845 ekar kolam ikan itu telah dipajak kepada sebuah syarikat perlombongan pasir swasta, menurut memorandum itu.

Oleh itu, para petani itu menggesa kerajaan mengeluarkan suatu perintah untuk menggantung perlombongan pasir itu sehingga perkara ini diselesaikan.

"Kami benar-benar akan menghargai jika kerajaan Perak membiarkan kami terus bercucuk tanam di tanah yang telah kami kerjakan selama bertahun-tahun," kata Chin, yang mewakili 75 petani itu.

Para petani itu juga sebelum ini menyerahkan memorandum kepada Exco Perak Mah Hang Soon pada 7 April tetapi masih belum menerima jawapan. Ini mendorong mereka untuk memanjangkan perkara itu kepada menteri besar.