Penganggur didakwa miliki item berkaitan kumpulan pengganas
Seorang penganggur wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini terhadap pertuduhan memiliki item yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan kumpulan pengganas.
Nor Izatul Farahirah Ismail, 36, didakwa memiliki item iaitu suatu 'headband' berwarna hitam bertulis jawi 'Lailahailallah Muhammad Rasulullah' dan 'Allah Rasul Muhammad'.
Dia yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah beralamat di Blok A2-0-2, Jalan Kampung Pandan, Desa Pandan, di sini, pada 11.50 pagi 19 Mei lepas.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zuhair Rosli yang kemudiannya menetapkan 5 Ogos untuk sebutan semula kes.
Di mahkamah berasingan, wanita itu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris terhadap pertuduhan memiliki dua keping kad pengenalan kepunyaan individu lain masing-masing atas nama Aisyah Marcella Lee Abdullah dan Calysta Ying.
Nor Izatul Farahirah didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, waktu dan hari sama mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zaman Mohd Nor, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memalsukan dua keping kad pengenalankepunyaan individu lain masing-masing atas nama yang sama dengan niat untuk menggunakan kad-kad tersebut sebagai tulen.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, waktu dan hari sama mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh menghadapi satu kes di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Kedua-dua mahkamah itu turut menetapkan 5 Ogos untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes itu. Tertuduh kemudian dibawa ke Penjara Kajang.
- Bernama

