Dua keluarga bergembira dengan pemulangan dua nelayan daripada penjara Indonesia, tetapi sebuah lagi keluarga masih berendam air mata.

Chia Kia Yang antara yang hadir ke majlis pengumuman itu dengan harapan abangnya Kee Chan akan turut dibebaskan bersama dua lagi nelayan – Chua Lee Teck dan Heng Chee Yong.

"Kami ada hadir di majlis makan malam ketika timbalan perdana menteri mengumumkan pembebasan dua orang nelayan oleh kerajaan Indonesia.

"Namun, kami sedih nama Chia Kee Chan yang masih ditahan di Indonesia tidak disebut,” kata kata Kia Yang, ketika hadir satu aktiviti nelayan di Sungai Besar.

Katanya, adiknya ditahan oleh penguatkuasa maritim Indonesia pada Februari lepas dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun tujuh bulan.

Dia kini dipenjara di Belawan, Sumatera.

Manakala dua orang nelayan yang bakal dibebaskan hari ini pula ditangkap pada bulan Mac dan kini ditahan di pusat pertahanan di Pulau Batam.

"Mungkin kes adik saya berbeza masa dan tempat dengan dua kes nelayan itu tetapi kami harap adik saya dapat perhatian juga," katanya.

Emak Kee Chan yang berumur 80 tahun turut menyuarakan harapannya untuk berjumpa dengan anaknya.

"Saya amat merindui anak saya dan saya harap dia dapat pulang secepat mungkin," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan dua nelayan Sekinchan Lee Teck dan Chee Yong akan dibebaskan kerana presiden Indonesia telah menandatangani pengampunan mereka.

Nelayan-nelayan itu dipenjarakan oleh pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki menceroboh perairan republik itu.

Kedua-dua nelayan itu dijadual sampai ke Sekinchan petang ini.