PM: Insentif untuk pemaju induk Bandar Malaysia
Kerajaan bersetuju memberi pemaju induk Bandar Malaysia, IWH CREC Sdn Bhd, dan anak-anak syarikat milik penuhnya, beberapa insentif berkaitan pembangunan projek berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata insentif terbabit termasuk pengecualian cukai pendapatan selama 10 tahun, pengecualian duti setem, Cukai Keuntungan Hartanah dan Cukai Pegangan, selama lapan tahun.
Najib berkata IWH CREC dan anak-anak syarikat milik penuhnya juga diberikan pengecualian duti import ke atas bahan binaan terpilih, yang kini tidak dikeluarkan di Malaysia.
"Selain itu, kerajaan juga bersetuju menimbang memberi insentif cukai kepada syarikat ranking utama dunia serta institusi kewangan.
"Kami juga menimbang langkah lain seperti peruntukan bangunan industri, meningkatkan peruntukan modal, pengurangan pembayaran sewa, pengecualian duti setem untuk insentif prapakej, kepada pelabur dan operator pelancongan yang lain," katanya dalam ucapan pada majlis pemeteraian perjanjian pemegang saham IWH CREC Sdn Bhd di ibunegara hari ini.
Najib berkata kerajaan akan terus menyediakan insentif yang bersesuaian bagi menarik syarikat berstatus dunia dan individu dari seluruh dunia melabur di Bandar Malaysia.
"Saya benar-benar mengharapkan perbadanan multinasional (MNC) akan merebut peluang ini dan melabur di Malaysia dan Bandar Malaysia khususnya. Saya berani jamin bahawa Bandar Malaysia akan menjadi pusat perniagaan di rantau ini," katanya.
Perdana menteri juga menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian utama yang akan meningkatkan pelaksanaan pembangunan Bandar Malaysia.
Ini meliputi pemeteraian perjanjian pemegang saham Bandar Malaysia Sdn Bhd antara TRX City Sdn Bhd, IWH CREC dan Kementerian Kewangan (MoF), Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Dana Bandar Malaysia oleh konsortium bank-bank serta MoU bagi Terminal Pengangkutan Besepadu Bandar Malaysia.
Najib menegaskan pembabitan MRCB Bhd sebagai rakan usaha sama dalam projek Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Malaysia membuktikan syarikat tempatan yang lain juga dapat meraih manfaat daripada pembangunan berkenaan.
"MoF, sebagai pemegang saham utama Bandar Malaysia, akan memastikan tender dan kontrak dibuat secara terbuka dan telus, supaya syarikat-syarikat Malaysia boleh turut serta dan menyumbang lebih ketara dalam pembangunan Bandar Malaysia," katanya.
- Bernama

