PAS cabar calon BN, AMANAH nyata pendirian
PAS mencabar calon BN dan AMANAH di Kuala Kangsar supaya menyatakan pendirian mereka mengenai pindaan yang diusulkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berceramah di Kuala Kangsar malam tadi berkata calon BN, Mastura Mohd Yazid dan calon AMANAH, Ahmad Termizi Ramli perlu mengumumkan pendirian mereka sekarang.
Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355, dikatakan bertujuan untuk mengukuhkan kuasa mahkamah syariah, tetapi akan juga menghapuskan halangan persekutuan untuk melaksanakan hudud di Kelantan.
Calon PAS dalam PRK Kuala Kangsar, Najihatussalehah Ahmad semalam mengisytiharkan beliau akan mengundi RUU itu di Parlimen sekiranya dia menang.
Berikutan itu, Tuan Ibrahim berkata, para pengundi perlu tahu apakah pendirian Mastura dan Ahmad Termizi mengenai RUU itu, sambil menambah bahawa 'pengundi sedang menunggu jawapan mereka'.
Beliau mendakwa bahawa penyelidikan oleh PAS menunjukkan 83 peratus responden Melayu bersetuju dengan RUU itu.
Sekiranya calon BN dan AMANAH itu gagal untuk meyakinkan pengundi, katanya, maka pengundi perlu mengundi calon PAS.
Tuan Ibrahim mengulangi dakwaan parti itu bahawa RUU tersebut tiada kena mengena dengan kaum Cina kerana ia melibatkan undang-undang Islam.
Najihatussalehah semalam berkata sebagai seorang Muslim, dia mempunyai kewajipan untuk menyokong usaha untuk mengukuhkan mahkamah syariah.
RUU Hadi mengenai Akta 355 itu dibentangkan di Parlimen pada 26 Mei, hari terakhir persidangan, setelah dilangkau dalam dua persidangan sebelumnya.
Menteri Umno Azalina Othman Said mengejutkan Dewan dengan mengemukakan usul untuk mempercepatkan giliran RUU itu, dengan mendakwa beliau diarah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi untuk berbuat demikian.
Ekoran bantahan yang tercetus selepas itu, PAS dan Hadi berulang kali memberitahu rakyat bahawa RUU itu tidak ada kena mengena dengan pelaksanaan hudud.
RUU itu, jika diluluskan di Parlimen, akan membolehkan Kelantan melaksanakan hudud sebahagiannya apabila mahkamah syariah kemudiannya akan dibenarkan untuk mengenakan semua hukuman hudud kecuali hukuman mati.
Pada masa ini, kuasa-kuasa mahkamah syariah terhad kepada menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.
Para pengkritik mendakwa langkah mempercepatkan pembentangan usul itu di parlimen adalah satu strategi bagi pilihan raya kecil di Sungai Bear dan Kuala Kangsar.

