Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyalahkan Datuk Seri Najib Razak berikutan  pembatalan kemunculannya dalam rancangan komedi Harith Iskander esok.

"Saya akan bersamanya (Harith) atas pentas untuk bertukar-tukar fikiran berkenaan benda-benda yang menggelikan hati. Itulah tujuan Harith, itu tujuan dia sebab dia pelawak bukan ahli politik.

"Tapi tiba-tiba dia diarah untuk hentikan program ini. Ini cara Najib," dedah Mahathir dalam ucapannya di Sungai Besar hari ini.

Harith kini mengacarakan rancangan komedi di Astro Awani, bertajuk 'Obviously Harith Iskander' yang disiarkan pada jam 9.30 malam setiap Sabtu.

Menurut akaun Twitter rasmi rancangan tersebut, persembahan minggu ini akan berkisar mengenai kejohanan bola sepak Euro.

Mahathir berkata, beliau sudah menetapkan kehadirannya Sabtu ini sebelum arahan pembatalan itu datang.

Beliau mendakwa satu-satunya perkara yang dibenarkan yang boleh diperkatakan tentang Najib hari ini adalah perkara yang baik
mengenai perdana menteri itu.

Ini dakwanya, adalah cara Najib untuk menyekat perbezaan pendapat.

Sementara itu jurucakap unit komunikasi korporat Astro memberitahu Malaysiakini OHI akan tetap disiarkan seperti biasa di saluran Awani.

Katanya OHI itu akan menyiarkan program khas mengenai kejohanan bola sepak Euro 2016.

"OHI tidak dibatalkan, kami sudah memuat naik poster dan maklumat mengenai Euro 2016 di Facebook dan hosnya masih Harith Iskander," katanya.

Bagaimanapun jurucakap itu enggan memberi komen lanjut.