Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau diberi amaran oleh Jabatan Imigresen yang pasportnya akan dibatalkan jika beliau berterusan membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di luar negara.

“Saya diberi amaran kalau kata sesuatu tak sokong Najib (semasa) saya balik dari luar negara maka passport saya akan ditarik balik (dan dibatalkan selama) tiga tahun,” kata bekas perdana menteri itu ketika ucapannya semasa berkempen di Sungai Besar hari ini.

Mahathir bagaimanapun mempertikaikan hak Jabatan Imigresen untuk berbuat demikian.

“Saya baca perlembagaan persekutuan tak ada hak itu... mana datang saya pun tak tahu,” katanya.

Sebelum ini Ketua Pengarah, Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Sakib Kusmi berkata undang-undang memberinya kuasa untuk menggunakan budi bicara bagi menghalang mereka yang membidas kerajaan daripada meninggalkan negara ini.

Mahathir berkata demikian pada majlis yang dihadiri lebih 60 orang bagi menyokong calon AMANAH di Sungai Besar, Azhar Shukur.

Selepas ucapannya, Mahathir bersama isterinya Tun Siti Hasmah Mohd Ali dan pemimpin pembangkang lain termasuk Lim Kit Siang menandatangani penambahan kepada Deklarasi Rakyat.

Penambahan itu adalah soalan ditujukan kepada Putrajaya mengenai 1MDB, seperti siapa yang akan membayar sekiranya firma itu kalah dalam kes timbangtara dengan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mahathir berkata penambahan mengenai Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara boleh dibuat pada masa akan datang.

Bekas perdana menteri itu berkata, walaupun tandatangan pada deklarasi itu sahaja tidak cukup untuk menjatuhkan Najib, ia mungkin memberi tekanan kepada Raja-Raja Melayu untuk bertindak.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil jalan keluar dengan mengadakan demonstrasi jalanan, Mahathir mengakui 'tergoda'.

"Tetapi itu bukan cara saya. Kamu tahu lagu 'My Way'? Ini bukan cara saya," katanya berseloroh merujuk kepada lagu Frank Sinatra yang sering dikaitkan dengan beliau.

Mahathir berkata, kerajaan berharap sesiapa yang menentang mereka akan mengadakan demontrasi kerana ia membolehkan Putrajaya menangkap pemimpin yang melakukan protes tersebut.