Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Murid Tahun Satu lemas di kolam rekreasi
Diterbitkan:  Jun 17, 2016 3:30 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Kegelisahan seorang ibu menunggu anaknya pulang berbuka puasa terjawab apabila mayatnya ditemukan di dasar kolam rekreasi berdekatan kuarters kediaman Kolej Universiti Tati (Tatiuc) di Teluk Kalong, Kemaman semalam.

Ahmad Waliyuddin Al Hasani Mohd Azhar, 7, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong ditemukan lemas oleh seorang siswa kolej berkenaan yang turut mencarinya di dasar kolam itu kira-kira pukul 9.35 malam.

Ibunya Fatimah Rubaiah Che Jaafar, 37, yang berkhidmat sebagai pembantu makmal di kolej berkenaan mulai risau apabila anaknya itu yang keluar bermain pada pukul 6 petang tidak pulang walaupun hari telah menjelang senja.

"Sebelum itu, arwah ikut saya pergi beli barang di kedai dan apabila sampai di rumah (kuarters) dia keluar bermain... lepas solat asar saya carinya di tingkat bawah tapi arwah tak ada, waktu begitu biasa arwah memang keluar bermain, jadi saya tak terfikir sesuatu perkara buruk terjadi.

"Saya jenguk keluar rumah dan nampak basikalnya ada, jadi saya lega sebab maknanya dia tak main jauh... namun sehingga berbuka dia masih tidak pulang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Mayat anaknya kemudian ditemukan oleh siswa berkenaan yang tersepak kaki arwah di dasar kolam berkenaan ketika mencari kanak-kanak itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa dipercayai tergelincir ke dalam kolam berkenaan berdasarkan keadaannya yang masih lengkap memakai baju ketika mayatnya dijumpai.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS