Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PAS tak anti warna oren, takut nanti cat tak laku'

PAS bersifat 'citra warna dan tidak anti dengan individu yang memakai baju dengan warna tertentu termasuk warna oren, kata Naib Presidennya, Idris Ahmad.

“Kita dalam PAS ini terbuka, kita boleh pakai baju batik, t-shirt, baju korporat, semua boleh.

"Inilah kita panggil citra warna dan citra pemikiran dalam PAS serta kita tidak berbentuk eksklusif dalam warna ini.

“Kita juga tidak anti orang pakai baju biru, merah atau oren ini kerana ia (pilihan) masing-masing. Kalau tidak nanti tak laku pula cat,” kata Idris dalam sidang media di Markaz Induk PAS, Bukit Chandan, Kuala Kangsar hari ini.

Idris berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi yang mengatakan tidak pernah mempersoalkan pemakaian anggota PAS sama ada 'jubah meleret mahu pun baju tidur'.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata AMANAH merupakan sebuah parti 'nanar' dan warna logonya menyerupai warna pakaian 'tok sami'.

Sementara itu, Idris turut ditanya mengenai kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang mendakwa kedudukan calon AMANAH di Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi Ramli hanya dua peratus di belakang BN.

Sebaliknya, Idris berkata berdasarkan bancian dilakukan PAS 'dari rumah ke rumah' menunjukkan sokongan 90 peratus pengundi kepada parti itu.

“Tak apalah itu laporan perisikan mereka (Pakatan Harapan) tetapi kita ini kira dari rumah ke rumah dan kita boleh capai hampir 90 peratus,” kata Idris.

Pilihan raya kecil parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini diadakan berikutan nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, bulan lalu yang mengakibatkan penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban.

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Ahmad Termizi yang mewakili AMANAH, BN yang diwakili Datin Mastura Mohd Yazid, Dr Najihatussalehah Ahmad yang mewakili PAS dan calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Lihat Komen
ADS