Remaja berusia 14 tahun yang cedera akibat bermain mercun buatan sendiri di Kampung Toh Kah, Dungun semalam sudah menjalani pembedahan dan dilaporkan keadaannya stabil.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Mohamad Omar berkata remaja berkenaan, Mohd Haiqal Firdaus Mohd Abdullah dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu kira-kira pukul 10.45 malam tadi selepas mendapatkan rawatan awal di Hospital Dungun.

"Pakar perubatan HSNZ telah menjalankan pembedahan ke atas mangsa akibat kecederaan yang agak parah di bahagian leher, dada dan lengan dan kini mangsa dilaporkan stabil," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.

Mohamad berkata ini merupakan kes pertama melibatkan individu yang cedera agak serius akibat bermain mercun sepanjang 11 hari umat Islam berpuasa tahun ini.

Beliau berkata pihaknya juga tidak menolak kemungkinan besar pembedahan plastik perlu dilakukan ke atas mangsa ekoran kecederaan serius yang dialaminya.

- Bernama