Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Keluarga mangsa sendiri serah RM12 juta kepada pihak ketiga’
Diterbitkan:  Jun 17, 2016 5:26 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini berkata wang tebusan RM12 juta bagi membebaskan empat individu yang diculik oleh kumpulan militan Abu Sayaaf di perairan Pulau Ligitan, Sabah dipercayai serahkan oleh keluarga mangsa sendiri kepada pihak ketiga.

Sehubungan itu, beliau menafikan polis menerima dan membayar wang tebusan berkenaan seperti didakwa oleh ahli keluarga empat mangsa itu.

“PDRM tidak tahu langsung mengenai wang terbabit kerana keluarga mangsa banyak berurusan dengan ejen-ejen atau pihak ketiga dari Filipina yang dikatakan boleh membebaskan mangsa.

“Pihak ketiga itu ada juga datang ke Malaysia untuk menemui ahli keluarga mangsa dan keluarga mangsa juga ada pergi Zamboaga City, Filipina.

“Kami tidak campur tangan dan hanya memastikan tahap keselamatan mereka,” katanya dalam sebuah rakaman video sidang akhbar di pejabat timbalan perdana menteri di Putrajaya hari ini.

Menjawab soalan wartawan secara khusus bahawa beliau menafikan bahawa polis Cawangan Khas menerima wang tebusan RM12 juta itu seperti yang didakwa, Khalid berkata "sudah tentu".

Malaysiakini tidak membuat liputan itu kerana dilarang memasuki bangunan Pejabat Perdana Menteri.

Dalam rakaman video itu, wartawan juga menyoal Khalid sama ada wajar untuk berkata usaha pihak ketiga yang sebenarnya membebaskan empat tebusan itu.

“Itu buat andaian sendiri la... Tetapi pihak kami (PDRM) yang membawa mereka balik dari selatan Filipina,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan wang kutipan RM12 juta itu telah disalurkan kepada badan Islam tertentu di Filipina.

Sebelum ini keluarga empat kelasi Sarawak yang diculik pada 1 April lalu mendakwa mereka telah menyerahkan semua wang yang dikumpul bagi pembebasan mangsa culik itu kepada polis Cawangan Khas di Sandakan, Sabah pada 24 Mei lalu.

Keempat-empat mangsa culik itu ialah adik-beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 31, dan anak kapal bot tunda, Wong Hung Sing, 32.

Lihat Komen
ADS