Nufam: Mueller tak faham budaya kerja kita
Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) mengecam kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbanan Malaysia (MAS) Christoph Mueller berhubung isu pemberhentian kira-kira 6,000 kakitangan syarikat berkenaan.
Menurut kenyataan kesatuan itu, sebagai orang luar Mueller tidak memahami budaya kerja masyarakat tempatan.
"Masalah dengan Mueller ialah, beliau adalah orang luar dan mungkin tidak faham budaya pekerja kita dalam negara. Apabila seseorang pekerja itu tidur, mungkin ada sebabnya mereka tidur.
"Tidakkah tidur pun penting untuk mendapatkan kembali tenaga buat pekerja tersebut? Beliau perlu faham ramai kakitangan di bahagian operasi bekerja dalam lingkungan 24 jam dan ada yang buat lebihan masa sehingga mereka penat.
"Tidak mungkin seorang pekerja datang ke tempat kerja untuk tidur.
"Buat apa nak tidur di pejabat (sebab lebih) baik tidur di rumah yang lebih selesa, atau pekerja boleh mengambil cuti jika tak cukup rehat," kata kesatuan itu hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Mueller sebagai berkata, di sebalik pelbagai pengumuman kerajaan, pemulihan MAS tidak dilaksanakan ketika dia mula menjadi ketua pegawai eksekutif.
"Ramai di kalangan 20,000 kakitangan yang bekerja untuk syarikat itu tidak mempunyai apa-apa untuk dilakukan.
"Malah, ketika saya berjalan di hangar, ada pekerja tidur. Sebab itu, saya terpaksa radikal mengurangkan 6,000 pekerja," katanya kepada stesen penyiar Jerman, Deutsche Welle (DW).
Mueller akan meninggalkan MAS secara rasmi September ini.
Kata Nufam Mueller mengambil sikap terburu-buru dengan membuang 6,000 pekerja sekali gus, termasuk di kalangan kakitangan yang lebih lama berkhidmat berbanding pegawai pengurusan yang "keluar dan masuk di MAS".
Kesatuan itu juga berkata kru kabin juga perlukan tidur kerana ia amat penting menyegarkan kembali badan ketika melakukan penerbangan jarak jauh.
"Tidur tidak boleh dijadikan alasan mengapa sebuah syarikat seperti MAS membuang pekerja mereka!" katanya.
Malah kata Nufam syarikat penerbangan lain seperti Virgin Airline menggalakkan kakitangan mereka tidur seketika jika penat sebagai cara syarikat itu menghargai pekerja.

