Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Noor akan menemui penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut, bersama peguam seperti yang dijanjikannya, untuk membantu mereka memohon perintah mahkamah bagi menghalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan rumah mereka.

Exco Pemuda PKR, Badrul Hisham Shaharin berkata, Ezam dan peguam terbabit, dijangka melawat penduduk di situ Rabu ini bagi membincangkan secara lanjut mengenai perkara tersebut.

Beliau memberitahu demikian ketika ditanya mengenai dakwaan penduduk di situ yang mereka masih menunggu perkembangan lanjut mengenai janji Ezam itu.

"Ezam dan peguam terbabit akan menemui penduduk setingggan tersebut jam 6 petang Rabu ini. Ini bagi memenuhi janjinya untuk membantu mereka mendapatkan peguam," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Sebelum ini, ketika dihubungi malaysiakini , Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang, Gulam Shariff berkata, pihaknya masih menunggu bantuan guaman yang dijanjikan oleh Ketua Pemuda PKR itu.

Beliau berkata, selain Ezam, Ketua Penerangan PKR Tian Chua juga pernah berjanji untuk membiayai sebahagian kos peguam tetapi belum ada keputusan muktamad mengenai.

Namun begitu, katanya, walaupun tanpa bantuan tersebut, penduduk setinggan Kampung Sungai Udang tetap akan memohon perintah mahkamah itu selewat-lewatnya akhir minggu ini.

Kos guaman

Beliau berkata, Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang telah menemui peguam supaya mengemukakan permohonan tersebut selewat-lewatnya Sabtu ini.

Menurutnya, permohonan tersebut akan dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang, Mohamad Yaacob.

"Penduduk setinggan seramai 30 keluarga juga telah bersetuju untuk membayar RM350 seorang secara ansuran kepada peguam tersebut bagi membiayai kos perintah mahkamah tersebut.

"Bagaimanapun, memandangkan ada beberapa penduduk yang tidak mampu, kami mengambil keputusan untuk membantu mereka membayar kos guaman tersebut," katanya.

Penduduk setinggan Kampung Sungai Udang mengambil tindakan mahkamah berikutan arahan DBKL supaya mereka berpindah selewat-lewatnya 8 Mac lalu. DBKL dalam surat tersebut mengancam akan merobohkan rumah setinggan jika mereka berdegil.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Isa Samad juga dilaporkan berkata, DBKL mahu memperbesarkan projek tebatan banjir di Kampung Sungai Udang bagi memberi kemudahan kepada penduduk sekitar.

Penduduk sebaliknya meminta untuk membeli rumah pangsa kos rendah di Taman Cuepacs vang terletak bersebelahan kampung mereka dengan harga istimewa RM35,000 seunit berbanding harga sebenar RM42,000 tetapi ditolak oleh DBKL.

Sebaliknya DBKL meminta mereka berpindah ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jinjang dengan kadar sewa bulanan RM124 tetapi penduduk pula menolak dengan alasan mereka mahu kediaman tetap.