Kjaan NS setuju bayar baki pada peneroka Felda Sendayan
Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah tanah Felda Sendayan yang tergantung sejak 1996 dengan bersetuju untuk menjelaskan baki bayaran kepada 513 keluarga peneroka terbabit.
Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah tanah Felda Sendayan yang tergantung sejak 1996 dengan bersetuju untuk menjelaskan baki bayaran kepada 513 keluarga peneroka terbabit.
Berikutan itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri akan
membayar baki
40 peratus kepada peneroka yang sudah menerima bayaran 10 peratus sebelum ini.
Manakala 50 peratus lagi akan dibayar dalam bentuk lain iaitu memberi sebuah rumah teres dua tingkat yang berharga lebih RM200,000 dan tanah seluas 0.405 hektar yang bernilai lebih RM300,000 kepada setiap peneroka terbabit.
Menurut laporan Bernama , Mohamad berkata, pada keseluruhannya, setiap peneroka masing-masing akan menerima kira-kira RM1.1 juta.
Bagaimanapun, katanya, keputusan tersebut hanya boleh dilaksanakan dengan syarat semua tindakan undang-undang yang dibuat oleh peneroka atau orang perseorangan ataupun pihak syarikat yang berkepentingan di Felda Sendayan, digugurkan.
Berdasarkan laporan, seramai 154 peneroka di situ mengambil pelbagai tindakan undang-undang, katanya.
Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah PKNNS di Seremban hari ini, Mohamad berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) perlu diselamatkan daripada masalah itu tetapi bukan menerusi pembelian terus.
Bayaran pendahuluan
Isu penjualan tanah peneroka Felda itu bermula pada November 1996 apabila 68 peneroka menandatangani perjanjian dengan PKNNS untuk menjual kira-kira 1,600 hektar tanah. Setiap peneroka dijangka menerima purata RM1 juta hasil perjanjian jual-beli tersebut.
Bagaimanapun sehingga kini kesemua peneroka terbabit hanya menerima bayaran pendahuluan 10 peratus daripada harga tanah ekoran projek usahasama antara PKNNS dengan sebuah syarikat swasta bagi membangunkan Koridor Teknologi Negeri Sembilan bernilai RM3 bilion, tergendala.
"Kerajaan negeri akan berusaha mengeluarkan bon kerajaan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan (kerajaan pusat) dan kita akan meminjam daripada kerajaan pusat dan kita akan bayar 50 peratus itu.
"Kita akan percepatkan pecahan tanah ini supaya kita boleh bahagi-bahagikan dan kita hendak jual juga tanah ini seberapa banyak yang boleh untuk kita mengembalikan semula (dapat modal) bagi membayar balik pinjaman kita," katanya.
Menurutnya, keseluruhan 1,853 hektar tanah terbabit akan dipecahkan 810 hektar akan dijual untuk membayar balik pinjaman (hutang), lebih 203 hektar akan diberikan 0.405 hektar kepada setiap peneroka, lebih 41 hektar lagi untuk didirikan rumah teres dua tingkat untuk setiap peneroka terbabit, manakala selebihnya akan didirikan masjid, sekolah dan sebagainya serta sebahagian lagi untuk kawasan perindustrian.
"Dengan ini, Sendayan akan menjadi satu kawasan penempatan baru (bandar baru) yang terancang dan teratur yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan," katanya.
MB jumpa peneroka
Bagaimanapun, katanya, jika tidak kerajaan negeri tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya semua tindakan undang-undang oleh peneroka atau orang perseorangan ataupun pihak syarikat yang berkepentingan di Felda Sendayan, tidak digugurkan.
"Kalau ada satu orang pun yang tidak setuju, semua kita tidak boleh buat. Oleh itu kita meminta persetujuan daripada semua keluarga dalam Felda Sendayan supaya bersatu hati dan tidak mempunyai sebarang motif untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam menyelesaikan masalah ini," tambahnya.
Menteri Besar berkata, niat kerajaan negeri ialah hendak menolong dan memastikan masa depan dan nasib peneroka di situ terbela.
"Setelah semua peneroka bersetuju dengan cadangan ini, kita akan melaksanakannya secepat mungkin. Saya sendiri akan berjumpa dan menerangkan perkara ini kepada semua peneroka terbabit.
"Saya berharap supaya perkara ini dapat diterima oleh semua pihak kerana ini adalah untuk kebaikan mereka juga," katanya sambil menambah, sekiranya tercapai persetujuan itu, kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa peringkat negeri bagi melaksanakan pembangunan terbabit secepat mungkin.

