‘Tolong anak ini dijaga, bapanya mati’
Seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di tepi jalan sebuah ladang kelapa sawit di Jerantut, Pahang dengan hanya berbekalkan sekeping nota, sejumlah wang bernilai RM15 dan keratan gambar seorang lelaki diselamatkan oleh seorang pekerja ladang, Ahad lalu.
Menurut akhbar Sinar Harian yang memetik Ketua Polis Jerantut Supeintenden Azid Ismail berkata pekerja ladang itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah pada sekitar jam 8 malam, apabila dia tiba-tiba mendengar suara bayi menangis.
Azid berkata pekerja itu kemudiannya menjumpai bayi berkenaan yang dibalut dengan kain di tepi jalan.
Bersama bayi itu, terdapat nota yang ditulis di atas sekeping kadbod yang berbunyi "Tolong anak ini dijaga bapanya mati saye Nuer Aini".
Pekerja ladang itu kemudian membawa bayi itu pulang, sebelum membuat laporan polis pada hari berikutnya dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
"Hasil pemeriksaan doktor mendapati bayi terbabit adalah seorang bayi perempuan, dalam keadaan matang dan berumur kurang dari sebulan.
"Terdapat kesan calar di bahagian dada bayi terbabit dipercayai berpunca dari goresan kuku bayi itu sendiri," kata Azid.
Bayi itu kini ditahan di Hospital Jerantut untuk pemeriksaan lanjut, dan polis telah memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenai penemuan bayi berkenaan.

