Pemilik motosikal ditikam pencuri
Seorang peniaga cedera selepas ditikam dengan senjata tajam dalam kejadian di hadapan sebuah kedai makan di Dusun Nyior, di Kemaman ketika hendak merampas motosikalnya dari pencuri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 38 tahun mula berang apabila ternampak seorang lelaki menaiki motosikalnya yang hilang di Chukai pada dua hari sebelum itu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim berkata susulan itu mangsa yang ditemani adik lelakinya yang berusia 30 tahun lantas menahan penunggang motosikal berkenaan.
"Bagaimanapun suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun bertindak melawan mangsa dengan mengeluarkan senjata tajam sebelum menikam mangsa di perut," katanya kepada pemberita, semalam.
Menurutnya sejurus menikam mangsa, suspek melarikan diri dan meninggalkan motosikal yang dinaikinya.
Katanya kesan tikaman itu juga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian hati dan dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
"Hasil pemeriksaan yang dijalankan kita mengesahkan ia adalah motosikal milik mangsa yang dicuri di Chukai dua hari sebelumnya.
"Mangsa kini stabil dan gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan. Oleh itu pihak polis juga meminta orang awam yang nampak kejadian itu tampil membantu menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat kes ini menerusi talian 017-2344542 atau 09-8582222," katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.
- Bernama

