Nama Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA2) tidak akan ditukar kerana ia didaftarkan dalam Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa sebagai sebahagian daripada kod rasmi KLIA, iaitu "KUL".

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, oleh itu "nama-nama tidak harus ditukar semata-mata untuk penukaran.

"Namun, Kementerian Pengangkutan mengakui hasrat AirAsia untuk menjenamakan KLIA2 sebagai terminal kos tambah murah sebagai sebahagian daripada usaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.

"Kementerian terbuka untuk mendengar apa-apa cadangan untuk meletakkan KLIA2 di peringkat antarabangsa sebagai terminal tambang murah yang terkemuka untuk merangsang industri pelancongan dan penerbangan di negara ini," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Liow berkata kerajaan sentiasa menyokong syarikat penerbangan tambang murah negara terutama AirAsia.

"Kami gembira memainkan peranan dalam pertumbuhan AirAsia untuk menjadi satu daripada syarikat penerbangan tambang murah terbesar di dunia. Ini termasuk menyediakan insentif seperti caj perkhidmatan penumpang yang rendah," katanya.

Liow berkata kerajaan komited untuk terus menyokong dan menyediakan insentif untuk menggalakkan pertumbuhan sektor syarikat penerbangan tambang murah Malaysia.

Bagaimanapun, "perdebatan yang berterusan ini adalah tidak perlu, dan semua pihak dalam sektor penerbangan harus bekerjasama dan bekerja bersama-sama untuk faedah semua rakyat Malaysia," kata Liow.

Airasia semalam dilaporkan berkeras untuk menggunakan perkataan "LCCT2" apabila merujuk kepada KLIA2, terminal penumpang bajet baharu, dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menghargai peranan syarikat penerbangan tambang murah itu sebagai penyewa terbesar di lapangan terbang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, dalam kempen kumpulan dilancarkan dua minggu lalu, AirAsia akan merujuk KLIA2 sebagai LCCT2 dalam laman web, tiket dan bahan promosinya tidak lama lagi.

- Bernama