Time: Lima anggota militan Thai ditangkap di KL Sentral
Terjemahan Polis menahan lima anggota militan Thai di Stesen Sentral Kuala Lumpur dua minggu lalu, demikian menurut majalah mingguan antarabangsa, Time keluaran terbaru.
Terjemahan Polis menahan lima anggota militan Thai di Stesen Sentral Kuala Lumpur dua minggu lalu, demikian menurut majalah mingguan antarabangsa, Time keluaran terbaru.
Menurut majalah tersebut, mereka ditangkap pada 9 Mac lalu dalam satu operasi rahsia yang dilancarkan oleh pihak keselamatan.
"Mungkin kerana sensitiviti tangkapan tersebut, jurucakap polis Malaysia telah menafikannya. Tetapi Time telah mengesahkan tangkapan tersebut dengan dua pegawai perisikan Malaysia yang mengetahuinya," kata laporan tersebut.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apakah tujuan kumpulan anggota militan tersebut berada di Kuala Lumpur dan sama ada terdapat anggota lain yang dapat meloloskan diri.
Bagaimanapun, pada malam tangkapan tersebut pada 9 Mac, satu letupan berlaku di luar bangunan Pesuruhjaya Tinggi Australia. Polis kemudiannya menafikan ianya ada kaitan dengan serangan pengganas.
Pada hari berikutnya, Kedutaan Amerika Syarikat, dalam satu maklumannya kepada rakyatnya di sini berkata, pihaknya sudah diberi amaran oleh kerajaan Malaysia mengenaji "ancaman yang tidak disahkan dan tidak dapat dikenalpasti" di pusat bandaraya.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia telah menafikan memberi amaran tersebut, dan menganggap ianya sebagai satu percubaan untuk menghakis keyakinan orang luar terhadap negara ini.
Sumber-sumber perisikan memberitahu Time bahawa kehadiran anggota militan Thai di Kuala Lumpur dianggap sebagai "satu tanda yang tidak menyenangkan".
Anggota militan marah
Adalah dipercayai tindakan Malaysia menghalang anggota puak pemisah di Selatan Thai menyelinap masuk ke negara itu melalui kawasan sempadan, telah menimbul kemarahan di kalangan anggota militan di wilayah itu.
"Kita selamat apabila Malaysia dilihat sebagai tempat untuk bersembunyi," kata pegawai perisikan Malaysia itu. "Tetapi kini kita menangkap anggota militan, jadi mereka menjadi marah."
Laporan majalah Time itu juga menyebut mengenai rampasan bahan letupan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Filipina pada pertengahan Februari lalu, yang didakwa oleh pihak polis, milik kumpulan militan Abu Sayyap.
Katanya, 12 bom C4 yang ditemui disembunyikan bersama barang-barang lain seperti tiub ubat gigi dan botol pewangi.
"Kami menggelarnya bom halimunan kerana amat sukar untuk dikesan," kata seorang pegawai kanan kerajaan kepada Time. "Dan berdasarkan jumlahnya, satu sahaja tujuannya yang terfikir oleh kami ialah: kapal terbang."
Mengikut majalah itu lagi, bom tersebut sesetengahnya sudah siap dipasang dengan peledak merupakan satu bentuk ancaman terbaru kepada industri penerbangan di Asia.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan menafikan laporan tersebut.
"Setahu saya, tidak ada kes penangkapan seumpama itu," katanya ketika dihubungi.

