Polis menafikan laporan bahawa seorang pelancong cedera apabila lebih 50 pemandu teksi menyerang sebuah kereta Uber di KL Sentral pada Isnin lalu.

Akhbar News Straits Times memetik Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Shahrul Othman Mansor berkata kekecohan hanya berlaku antara seorang pemandu teksi dan pemandu Uber.

"Kejadian itu berlaku pada 12.30 tengah hari Isnin. Kenderaan Uber yang membawa seorang penumpang Iran ke destinasinya dihalang oleh dua atau tiga pemandu teksi.

"Ini menyebabkan tercetusnya pertengkaran antara mereka," katanya.

Shahrul turut menafikan laporan tingkap kereta berkenaan pecah, kononnya akibat lemparan objek ke arah kenderaan Uber.

Sebuah akhbar harian Cina melaporkan pasangan dari Iran, yang baru-baru ini tiba di Malaysia, berdepan pengalaman menakutkan semasa menggunakan perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber.

Laporan itu mendakwa sebaik memasuki kenderaan Uber, lebih 50 pemandu teksi menyerang mereka.

Pasangan itu kononnya ditarik keluar sebelum pemandu teksi menggunakan batu untuk menghancurkan tingkap kereta.

Beberapa portal dalam talian juga melaporkan kejadian itu.

[Baca berita penuh]