Ketua Pengarah Kesihatan kutuk guna agama persoal vaksin
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengutuk amalan menggunakan agama untuk menyebarkan maklumat yang salah mengenai vaksinasi melalui tulisan di media sosial.
Ini selepas pengguna Facebook 'Imam Muda Ammar' menulis catatan mempersoalkan kepentingan vaksinasi dalam mencegah kematian akibat jangkitan bakteria, terutamanya di kalangan kanak-kanak.
"Tak tahu pula budak yang vaksin dapat extra nyawa. Untunglaa..
"Ada tak vaksin selamat daripada kemalangan jalan raya. Tanya je," tulis Imam Muda Ammar.
Beliau merujuk kematian yang dilaporkan melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Ujong Pasir, Melaka, pada 18 Jun lalu akibat difteria - jangkitan bakteria yang serius di tekak dan hidung.
Noor Hisham, sebagai respon menulis di Facebook bahawa tulisan yang tidak bertanggungjawab dan mempergunakan agama adalah menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
"Satu perbuatan yang memalukan," katanya yang turut memaparkan kenyataan asal Imam Muda Ammar di Facebook.
Beliau turut berkongsi kenyataan Kementerian Kesihatan untuk menghapuskan mitos dan kebimbangan mengenai vaksin, yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2013.
Difteria boleh dicegah
Sementara itu, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) juga menimbulkan kebimbangan terhadap pengesanan penyakit yang pernah dihapuskan di Malaysia.
Memetik difteria sebagai contoh, kumpulan itu berkata terdapat sekurang-kurangnya 11 kes baru dikesan - tiga disahkan dan lapan disyaki - dan dua kematian.
"Penyakit ini timbul kembali akibat keengganan sebilangan ibu bapa mematuhi polisi dan nasihat kementeri kesihatan untuk menvaksisinkan anak mereka mengikut jadual yang ditetapkan.
"Faktor keengganan ini dikenalpasti berpunca daripada salah faham mesyarakat yang mendapat maklumat salah daripada sumber media sosial yang tidak diketahui kredibiliti dan tahap keilmuannya," kata IMAM dalam satu kenyataan.
Walaupun mudah merebak daripada individu kepada individu yang lain, difteria boleh dicegah melalui penggunaan vaksin. Jika berlanjutan, difteria boleh merosakkan jantung, buah pinggang dan sistem saraf orang yang dijangkiti.
IMAM juga menyeru kalangan agamawan agar menyampaikan fakta yang benar mengenai vaksin dan menghindar prasangka yang tidak betul mengenainya.
"Mana-mana pihak agama dan masyarakat yang masih keliru tentang peranan dan kepentingan vaksin disyorkan bertanya kepada mereka yang ahli dalam bidang ini iaitu doktor dan pakar perubatan yang Muslim mengenainya," katanya.

