Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup menggadaikan prinsipnya apabila bersekongkol dengan DAP yang jelas memusuhi Islam, kata akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Akhbar itu memetik Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din sebagai berkata tindakan Dr Mahathir yang mencabuli prinsip yang dipegangnya selama ini juga mengundang banyak perkara negatif.

"Bersahabat baik dengan musuh Islam, kita akan jadi seperti mereka juga.

"Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita balik mempertahankan syariat Islam dengan mengutamakan ukhuwah atau persaudaraan yang berteraskan kepada hukum-hukum syarak dan menjauhi diri daripada tindakan yang mengundang kemurkaan Allah," katanya yang dipetik akhbar itu.

Walau bagaimanapun, artikel Utusan Malaysia tidak menjelaskan prinsip mana yang diperjuangkan oleh Mahathir bertentangan dengan ajaran Islam itu.

Sebelum ini bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad memberi amaran bahawa tindakan negarawan itu bersama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) akan membawa kemudaratan kepada orang Melayu.

Ini berikutan tindakan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu berkempen bersama Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar minggu lalu.

Selain itu, Haron yang juga ketua kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) turut berpendapat, tindakan Mahathir kini berkemungkinan disebabkan sikapnya yang emosional untuk menukar perdana menteri tidak berjaya.

Ia dilihat berbeza dengan hasrat Mahathir sebelum ini yang mana semuanya dapat dicapai, kata Haron lagi.

"Apabila hasratnya untuk menukar perdana menteri tidak berhasil, maka semuanya telah berubah.

"Perjuangan untuk memartabatkan Islam melalui perpaduan sepatutnya menjadi keutamaan Dr Mahathir dalam umur yang begitu lanjut," katanya.