‘Hentikan bantuan kewangan Yayasan Kepimpinan Perdana’
Pergerakan Pemuda Umno hari ini menggesa kerajaan untuk menghentikan segala bantuan yang diberikan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana yang kini diterajui oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata, bantuan yang diberikan itu termasuk kewangan dan harta tetap serta kakitangan sokongan yang gaji mereka dibayar oleh kerajaan.
Pada sidang akhbar hari ini, Khairul Azwan mendakwa langkah itu perlu kerana Mahathir menggunakan yayasan itu sebagai platform untuk menjatuhkan kerajaan.
"Pemuda Umno memandang serius akan tindakan Tun (Dr) Mahathir memperalatkan Yayasan Kepimpinan Perdana sebagai salah satu platform untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Kami mengutuk tindakan seperti ini yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi di negara ini," katanya.
Ditanya butiran berhubung bantuan yang disediakan oleh kerajaan itu, Khairul Azwan berkata beliau tidak mempunyai maklumat tetapi difahamkan Yayasan Kepimpinan Perdana mempunyai 22 kakitangan yang gaji mereka dibayar oleh kerajaan.
"Kami serahkan kepada kerajaan untuk menyiasat, katanya.
Menurut laman web rasmi, Yayasan Kepimpinan Perdana adalah sebuah pertubuhan bukan keuntungan yang bergantung kepada sumbangan peribadi.
Khairul Azwan juga mengingatkan Mahathir berhubung kenyataannya bahawa pilihan raya kecil berkembar di Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun adalah satu referendum untuk kepimpinan Najib.
"Sekarang rakyat telah bersuara, sudah tiba masanya untuk Mahathir menghormati keputusan rakyat.
"Perkara terbaik untuk beliau lakukan sekarang ialah berundur dan pergi berehat, terima keputusan itu dengan hati terbuka," katanya.
Mahathir, semasa kempen pilihan raya kecil, secara terbuka menyokong calon Parti Amanah Negara terhadap BN dengan alasan AMANAH menyokong Deklarasi Rakyat yang menuntut Najib meletakkan jawatan.

