Debat terowong, kami bukan penakut, kata Guan Eng
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi jaminan debat antara Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutannya, Lim Hock Seng bersama Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkenaan isu terowong bawah laut tetap diteruskan.
Lim berkata rakyat Pulau Pinang seperti Hock Seng adalah berani dan tidak mengelak perbahasan, bukan seperti pengarah komunikasi strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Beliau merujuk kepada keengganan menteri persekutuan itu untuk berdebat dengannya secara langsung di TV3 pada 19 April yang lalu ekoran nasihat kemungkinan akan memudaratkan siasatan isu tanah Taman Manggis dan banglo Lim di Pulau Pinang.
"Beliau (Hock Seng) tidak akan lari, atau ke luar negara atau bersembunyi mahupun menggunakan ketua polis negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) untuk membatalkan perbahasan, " kata Lim pada sidang media di Komtar. hari ini.
"Disamping itu, cabaran berdebat datang dari Liang, dan bukan Hock Seng, jadi jangan memutar kata-kata anda."
Terdahulu, Hock Seng menolak untuk berdebat dengan Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Jason Loo berhubung isu yang sama.
Ahli dewan undangan negeri (ADUN) Bagan Ajam dari DAP itu juga dilaporkan pernah bertanya kepada akhbar berbahasa Cina "Siapa Loo?", sambil berkata beliau hanya akan berdebat dengan wakil rakyat sahaja mengenai isu tersebut.

