Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa ada pihak yang menggunakan namanya untuk menyebarkan melalui sistem pesanan ringkat (SMS) senarai nama pekilang produk sosej yang dikatakan bercampur usus babi.

Jurucakapnya berkata, mereka yang tidak bertanggungjawab itu menggunakan nama PPIM dalam menyebarkan senarai produk sosej tersebut kepada orang ramai.

Menurutnya, PPIM hanya memeriksa sebuah syarikat pengeluar sosej iaitu Pacific Refgerating Sdn Bhd setelah menerima aduan orang ramai bahawa sosej keluarannya mengandungi usus babi.

"Pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menyebarkan berita melalui SMS dengan menggunakan nama PPIM kononnya beberapa keluaran syarikat lain juga mengandungi usus babi.

"Saya ingin menegaskan di sini, kecuali sosej keluaran kilang Pacific Refgerating, senarai produk lain itu yang dikatakan mengandungi usus babi, tidak dikeluarkan oleh PPIM," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, jurucakap PPIM itu tidak menolak kemungkinan SMS itu disebarkan oleh syarikat-syarikat pengeluar sosej sendiri, untuk kepentingan perniagaan masing-masing.

Dalang sebar SMS

"Dan kita akan menyiasat perkara itu bagi mengenalpasti dalang yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu itu," tambahnya.

Beliau berkata, logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada Pacific Refgerating telah luput tarikh dan produknya bercampur dengan barangan tidak halal.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kilang Pacific Refgerating di Selayang membabitkan ahli PPIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Kemententerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 17 Mac lalu.

Berikutan itu, katanya, pekilang yang tidak terlibat dengan pengeluaran sosej yang mengandungi usus babi, memandang serong terhadap peranan PPIM sebagai pemantau produk halal.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada syarikat pengeluar sosej yang mengambil tindakan undang-undang terhadap PPIM.

"PPIM, sebagai sebuah badan Islam bukan kerajaan (NGO) tidak boleh menyerbu kilang sosej secara sembarangan melainkan jika mendapat aduan orang ramai dan selepas pemantauan yang rapi," katanya.

Menurutnya, pegawai PPIM akan memeriksa produk terbabit dan setelah mendapati ia benar-benar mengandungi usus babi, barulah dihantar kepada Jakim untuk tindakan lanjut.

Presiden PPIM, Dr Maamor Osman pula ketika dihubungi bagaimanapun, enggan menjawab ketika ditanya berhubung penyebaran SMS tersebut.