Tangan, kaki hampir putus diserang lelaki bertopeng
Seorang penternak ikan cedera parah dengan tangan dan kaki hampir putus selepas diserang sekumpulan lelaki di
hadapan sebuah restoran di Jalan Ooi Kang Seng, di Nibong Tebal tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafee Abdul Samad berkata Goh Kim Huat, 43, yang tinggal di Taman Bukit Panchor, telah keluar dari rumahnya pada pukul 8 malam untuk ke kolam ikan miliknya di Sungai Udang untuk
berjumpa rakannya.
"Selepas selesai urusan di kolam ikan, mangsa pergi minum di sebuah restoran dan kira-kira pukul 12.10 tengah malam empat lelaki yang memakai topeng muka dan bersenjatakan parang menyerangnya.
"Mangsa tidak sempat buat apa-apa dan terus dipukul serta ditetak dengan parang," katanya hari ini.
Beliau berkata ketika kejadian terdapat beberapa pelanggan di restoran itu tetapi mereka tidak dapat membantu mangsa kerana suspek telah mengarahkan agar tidak masuk campur jika tidak mahu dicederakan.
Shafee berkata empat lelaki itu kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kerata jenis Proton Suprima warna putih yang menunggu mereka di tepi jalanberhampiran restoran itu bersama seorang pemandu lelaki.
"Pelanggan di restoran itu kemudiannya menghubungi polis sebelum mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan lanjut. Dia dilapor tidak sedarkan diri dan dalam keadaan kritikal," katanya.
Beliau berkata polis akan mendapatkan rakaman CCTV yang terdapat di kawasan kejadian bagi membantu mengesan mereka yang terlibat dalam kes yang dipercayai berkaitan dengan perniagaan itu.
"Saya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.
- Bernama

