Polis Miri nafi tidak bertindak terhadap tuduhan dalam kes NCR
Polis tidak dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang dituduh terlibat dengan aktiviti jenayah berkaitan tanah Hak Adat Pribumi (NCR) kerana tidak mempunyai cukup bukti.
Ketua Polis Miri ACP Junaidi Bujang berkata walaupun laporan polis dibuat mengenai pertikaian tanah NCR, termasuk tuduhan perbuatan jenayah yang dilakukan pihak berkepentingan, samseng dan peras ugut, tetapi tindakan sukar diambil
tanpa adanya bukti kukuh.
"Sebagai contoh, kadang-kadang mereka yang membuat laporan polis tidak dapat mengecam suspek yang dikatakan terlibat dengan sesuatu tuduhan, jadi, bagaimana kami hendak mengambil tindakan dalam kes sedemikian," katanya kepada pemberita di Miri hari ini.
Junaidi berkata demikian bagi menjawab tuduhan pengerusi PKR Sarawak Baru Bian bahawa polis tidak bertindak, walaupun laporan polis dibuat mengenai pertikaian tanah NCR di Sungai Bekelit, Miri.
Baru berkata, malah, Bill Kayong, yang ditembak mati penyerang tidak dikenali pada Selasa, juga terlibat dengan konfrontasi di Sungai Bekelit antara pemilik ladang dan penduduk kampung di situ.
Terdahulu, Junaidi mengiringi Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sarawak SAC Che Yussof Che Ngah melakukan kunjungan hormat terhadap Datuk Bandar Bandaraya Miri Lawrence Lai dan anggota Majlis
Bandaraya Miri (MCC).
Mengenai laporan polis yang dibuat terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri Pujut Dr Ting Tiong Choon, Junaidi berkata siasatan mungkin mengambil sedikit masa kerana polis perlu mendapatkan pengesahan tentang taraf kerakyatan Dr Ting daripada kerajaan Australia.
"Polis sudah ambil keterangan beliau (Dr Ting) dan ia masih disiasat mengikut Seksyen 199 Kanun Keseksaan," katanya.
Pada 16 Jun, calon langsung Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri pada 7 Mei, Datuk Hii King Chiong, memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan keputusan untuk kerusi Pujut dengan alasan Dr Ting adalah warganegara Australia.
- Bernama

