Pungutan suara sengit, rakyat Britain berbelah bahagi
Pungutan suara sama ada Britain sewajarnya meninggalkan Kesatuan Eropah adalah amat sengit hari ini apabila keputusan awal menunjukkan rakyat negara itu jelas berbelah-bahagi manakala matawangnya, sterling ‘dibelasah’ di pasaran kewangan.
Kem ‘keluar’ dilapor sedang mendahului kem ‘kekal’ apabila mendapat sebanyak 51 peratus berbanding 49 peratus undian selepas pengiraan di 153 daripada 382 kawasan diadakan setakat ini.
Kebanyakan undian penduduk bandar di timur laut England memihak kem ‘keluar’ selepas pengundian, semalam.
Scotland menyaksikan sebahagian besar penduduknya mahu kekal dalam blok Kesatuan Eropah
Sterling jatuh sehingga AS$1.4300 pada satu peringkat, setelah meningkat ke paras tertinggi pada AS$1.5022 tahun ini.
Kali terakhir sekitar AS$1.4550 dan ia adalah urus niaga harian terbesar sejak Mei 2010.
Manakala euro jatuh pada AS$1.1312, sementara yen berdepan kerugian awal pada 105.14 setiap dolar.
Pungutan suara itu juga mempengaruhi harga minyak yang merosot pada awal dagangan di Asia hari ini.
Minyak mentah susut AS$1.54 pada AS$48.58 setong sekitar 0117 GMT. Minyak mentah Brent pula jatuh AS$1.47 pada AS$49.44 setong.
Kedua-duanya jatuh lebih daripada AS$2 setong pada satu mata.

