Paling Popular
Terkini
story images
story images

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berpendapat, kenyataan dikeluarkan mufti Pahang yang mendakwa DAP sebagai kafir harbi sebagai keterlaluan.

Sehubungan itu, Ibrahim meminta supaya Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman membetulkan kenyataannya itu walaupun tidak bersetuju dengan DAP.

Ini kerana, beliau berpendapat kenyataan itu boleh mendatangkan kekeliruan terhadap orang bukan Islam terhadap agama Islam.

"PERKASA berpendapat kenyataan mufti Pahang mengenai DAP sebagai kaum kafir harbi agak keterlaluan. PERKASA memang tak bersetuju dengan politik DAP sejak dulu lagi. Ini bukan perkara baru, kita tau pasal DAP.

"Walau kita berbeza dengan DAP, tetapi isu yang dibawa mufti Pahang boleh memberi salah tafsir orang bukan Islam terhadap Islam.

"Jadi elok mufti Pahang memperbetulkan. Dia boleh menyatakan tidak bersetuju, boleh mengecam DAP, tetapi tidak boleh secara spesifik menuduh yang boleh mengelirukan pandangan orang ramai terhadap Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini.

Selain itu, Ibrahim juga berpendapat tidak wajar untuk sesiapa menghukum orang bukan Islam dengan dakwaan sedemikian memandangkan negara ini bukan mengamalkan pentadbira berteraskan Islam sepenuhnya.

"Dalam bab ini kita tak boleh hukum sampai peringkat menggelar kafir harbi. Kita bersetuju dengan pandangan mufti Perlis bahawa Malaysia bukan negara mengamalkan Islam," katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, DAP yang menentang hukum Islam dan mahu menubuhkan negara sekular tergolong dalam kalangan kafir harbi dan ia wajib ditentang umat Islam.

Bagaimanapun, Abdul Rahman kemudian memberitahu bahawa kenyataan itu bukan ditujukan semata-mata kepada DAP tetapi secara umum.

Lihat Komen
ADS