Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib pesan kedai, peniaga tawar harga berpatutan
Diterbitkan:  Jun 26, 2016 11:53 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru rakyat Malaysia agar sama-sama memainkan peranan meringankan beban masing-masing dalam menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti mempercepatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta memberi bantuan khas hari raya kepada penjawat awam, pesara kerajaan, pekebun kecil dan peneroka.

Bagaimanapun, katanya, usaha meringankan beban ekoran pertambahan perbelanjaan di musim perayaan ini bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata.

"Kedai-kedai dan peniaga, selain menawarkan jualan murah, perlu memastikan agar barangan dijual pada harga yang berpatutan dan mengikut ketetapan, terutamanya barangan runcit dan makanan yang di bawah senarai harga kawalan," katanya dalam catatan terbaru di laman www.najibrazak.com hari ini.

Perdana menteri turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya berbelanja secara berhemah dalam membuat persiapan menyambut Syawal.

"Yang lebih penting dan bermakna dalam menyambut Aidilfitri bukanlah kelengkapan dan pakaian baharu, tetapi ikatan silaturahim dan kekeluargaan sesama kita.

"Semoga Syawal yang akan tiba ini bakal mengeratkan lagi hubungan antara kita semua, Insya-Allah," kata perdana menteri.

Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut Aidilfitri pada 6 Julai ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS