Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenapa polis diam isu 'kafir harbi', tanya MP pembangkang
Diterbitkan:  Jun 26, 2016 1:44 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Tidak ada apa yang hendak dihairankan dengan kenyataan mufti Pahang apabila mengistiharkan DAP sebagai kafir harbi, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Kata beliau, ini kerana, sejak tahun lepas lagi, Parti Amanah Negara (AMANAH) membantah kenyataan 'ulama' dari sebuah negeri di utara tanahair yang "menghalalkan darah" mereka yang tidak sehaluan dengan partinya.

Namun, Raja Kamarul berkata, tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa polis ekoran laporan tersebut.

“Nampak gayanya mufti kerajaan negeri Pahang (pimpinan Umno) bebas membuat kenyataan walaupun betapa bahaya kenyataan kafir harbi yang membolehkan yang dituduh di hapuskan.

“Nampaknya ahli PAS yang menjadi penasihat kepada Umno juga kebal dari tindakan dengan kenyataan halal darah terhadap lawan mereka.

“Jadi apa yang hendak dihairankan tindakan mufti dari negeri kerajaan Umno. Bukankah PAS juga menjadi penasihat pada Umno," tanya Raja Kamarul dalam satu kenyataan.

Jumaat lalu, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang merupakan Mufti Pahang telah menggelar DAP sebagai 'kafir harbi' kerana menentang langkah langkah PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan menerusi pembentangan rang undang-undang anggota persendirian oleh presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kenyataan Abdul Rahman ini disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia.

Menurut Pengerusi AMANAH negeri Terengganu itu lagi, keadaan tersebut berbeza dengan tindakan anggota militan Islamic State (IS) yang membuat ugutan keganasan melalui video dari seberang laut dengan pihak polis memberi amaran keras.

“Apabila mereka yang membuat ugutan dan kenyataan menghasut keselamatan berada di depan mata dalam negara, pihak berkuasa tidak mengambil tindakan sepatutnya,” kata Raja Kamarul.

Justeru, Raja Kamarul mempersoalkan sejauh manakah seriusnya kerajaan dalam perkara sedemikian.

“Adakah kerajaan serius menangani isu extremis agama yang berada didepan mata.

"Adakah kerajaan menunggu insiden yang tidak diingini berlaku sebelum bertindak," tanya beliau.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung berkata, pihaknya tidak dapat menerima 'penjelasan' Abdul Rahman dan ia sangat mengejutkan dalam konteks Malaysia.

Gooi juga turut senada dengan Raja Kamarul berhubung kebimbanganya terhadap sikap sambil lewa pihak berkuasa polis dalam perkara terbabit yang dilihat sebagai cubaan menghasut kebencian agama.

"Mengapa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Ketua Polis (Tan Sri Khalid Abu Bakar) tidak mengucapkan satu perkataan pun terhadap kenyataan terbaru yang sangat lantang dan merupakan satu cubaan menghasut,” soal Gooi.

Selain itu, Gooi turut menegaskan bahawa Abdul Rahman bukan orang biasa tetapi seorang yang dilantik untuk membimbing umat Islam di jalan yang benar.

Lihat Komen
ADS