Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu label kafir harbi: Presiden MCA 'kunci mulut', ulas lain masa

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini enggan mengulas mengenai kontroversi yang membabitkan kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang melabel DAP sebagai 'kafir harbi'.

"Saya akan memberi komen pada masa lain," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Koperasi Petani Muda Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada mulanya, apabila diminta mengulas kenyataan Abdul Rahman buat kali pertama pada sidang akhbar itu , Liow enggan menjawab soalan langsung dan meminta soalan seterusnya mengenai acara itu, dan bukannya politik.

Rakan sejawatannya dari Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dilihat lebih 'berani' dengan menyatakan rasa tidak bersetuju dengan kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang melabelkan DAP sebagai kafir harbi.

"Saya tidak bersetuju. Itu salah," kata Mah ketika ditemui media di Kuala Lumpur, hari ini.

Lebih mengejutkan sebelum ini, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dilaporkan sebagai berkata, kenyataan dikeluarkan mufti Pahang yang mendakwa DAP sebagai kafir harbi itu sebagai keterlaluan.

Sehubungan itu, Ibrahim meminta supaya Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman membetulkan kenyataannya itu walaupun tidak bersetuju dengan DAP.

"PERKASA berpendapat kenyataan mufti Pahang mengenai DAP sebagai kaum kafir harbi agak keterlaluan. PERKASA memang tak bersetuju dengan politik DAP sejak dulu lagi. Ini bukan perkara baru, kita tau pasal DAP.

"Walau kita berbeza dengan DAP, tetapi isu yang dibawa mufti Pahang boleh memberi salah tafsir orang bukan Islam terhadap Islam.

"Jadi elok mufti Pahang memperbetulkan. Dia boleh menyatakan tidak bersetuju, boleh mengecam DAP, tetapi tidak boleh secara spesifik menuduh yang boleh mengelirukan pandangan orang ramai terhadap Islam," tambah Ibrahim.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS