Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Debat terowong dasar laut 28 Jun ini di P Pinang
Diterbitkan:  Jun 26, 2016 4:47 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Debat mengenai isu terowong dasar laut antara Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang Lim Hock Seng dan Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng akan diadakan pada 28 Jun ini.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa debat bertajuk "Tiga Lebuhraya dan Terowong Bawah Dasar Laut" itu menggunakan bahasa kebangsaan dan diadakan di Dewan Kompleks Masyarakat Penyayang di sini pada 9 malam.

"Kami telah mengadakan mesyuarat dan pihak YB Liang telah menghantar wakil untuk membincangkan mengenai aturcara perdebatan. Dalam sesi debat itu akan ada ucapan daripada kedua-dua wakil, soal jawab dan ucapan penggulungan," katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Pada 11 Jun lepas, Liang menyatakan keinginan untuk berdebat berhubung isu projek terowong dasar laut selepas Lim menolak tawaran Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Jason Loo untuk berdebat.

Loo pernah menganjurkan dan menjemput Lim untuk berdebat pada 11 Jun lepas namun Lim tidak hadir selepas mendakwa semua soalan yang dikemukakan telah dijawab dan oleh itu tidak perlu untuk berdebat.

Wong berkata peguam Lee Khai akan menjadi moderator pada sesi debat yang dijangka berlangsung selama dua jam itu.

Beliau berkata pihaknya turut meminta Liang untuk menguruskan supaya debat itu dapat disiarkan secara langsung di televisyen.

"Saya masih belum tahu sama ada siaran langsung dari stesen televisyen boleh dijalankan atau tidak," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang ingin hadir pada debat itu supaya datang awal kerana dewan itu hanya mampu menampung kapasiti 500 orang sahaja.

Katanya skrin besar turut disediakan di luar dewan bagi memberi peluang kepada orang ramai yang tidak dapat tempat di dalam dewan untuk mengikuti debat itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS