Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rahman ikrar tarik rakyat supaya minat isu ekonomi
Diterbitkan:  Jun 27, 2016 6:07 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, ini adalah masanya untuk menarik perhatian rakyat Malaysia supaya lebih berminat terhadap isu ekonomi negara menerus bahasa yang lebih mesra dan mudah difahami.

Oleh itu, katanya, beliau bersedia untuk memulakan pelaksanaan program bagi mendekatkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan rakyat - program yang membuatkan EPU lebih difahami dan dihargai oleh masyarakat.

Abdul Rahman dilantik sebagai menteri di jabatan perdana menteri dan bertanggungjawab terhadap EPU dalam rombakan kabinet hari ini.

Beliau meninggalkan portfolio kementerian kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan yang dipegangnya selama tiga tahun.

“Saya yakin isu ekonomi akan memainkan peranan utama dalam menentukan undi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

“(Oleh itu) institusi penting ini tidak boleh kekal berada dalam genggaman eksklusif pakar ekonomi, ahli perniagaan dan pembuat dasar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rahman yang juga adalah ketua komunikasi strategik BN juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana kepercayaan dan keyakinannya terhadapnya.

Jawatan itu sebelum ini diterajui oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Tan Sri Abdul Wahid Omar, yang kembali ke dunia korporat selepas penggalnya sebagai senator berakhir bulan lalu.

Wahid menggantikan Tan Sri Mohamed Nor Yaakop, yang memegang jawatan itu dari 2009 hingga 2013. Mohamed Nor juga memegang jawatan Menteri Kewangan II secara serentak.

Abdul Rahman, yang juga Setiausaha BN Sabah, dilantik menyertai kabinet pada tahun 2013, selepas BN memenangi semua kecuali tiga daripada 25 kawasan Parlimen Sabah pada pilihan raya umum ke-13.

Lihat Komen
ADS